suria

Sukma (Judo): Muhamad Jafaannuar Tak Sangka Raih Emas

KUALA LUMPUR: Atlet Negeri Sembilan Muhamad Jafaannuar Jamaludin tidak menyangka dapat meraih pingat emas dalam acara judo bawah 55kg pada Sukan Malaysia ke-14, di sini, Sabtu.

Meskipun terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan di telinga kanan, pemuda berusia 18 tahun itu menunjukkan semangat luar biasa untuk menundukkan Ng Tsu Tao dari Pulau Pinang pada perlawanan akhir.

"Saya tak terkata. Tak sangka...," katanya kepada Bernama.

Ini merupakan emas pertama Muhamad Jafaannuar pada Sukan Malaysia setelah sekadar meraih gangsa dalam temasya yang sama di Melaka tahun lepas.

Beliau yang berasal dari Manjung, Perak, berkata beliau berharap akan diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Sementara itu dalam acara judo, Johor mengekalkan penguasaan dengan pungutan tiga daripada enam emas yang dipertandingkan.

Johor memenangi pingat emas menerusi Muhammad Syaiful dalam acara bawah 60kg lelaki, Chong Wei Fu (bawah 66kg lelaki) dan Farah Aida Sofia Ali (bawah 45kg wanita).

Terengganu meraih satu emas hasil aksi tangkas Nor Hidayu Muliar dalam acara bawah 52kg wanita manakala Pulau Pinang membawa pulang satu emas melalui Tan Shu Hui dalam acara bawah 48kg wanita. - BERNAMA

Artikel Lain