suria

Selangor PKNS Kalahkan Tentera 4-2, Terus Kuasai Takhta Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor PKNS kalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-2 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam Sabtu.

Kemenangan ke-16 pasukan anak didik Abd Rahman Ibrahim itu membolehkan Selangor PKNS memperkukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan pungutan 42 mata mendahului Sarawak, yang setakat ini memungut 33 mata.

Beraksi di tempat lawan, Selangor PKNS bergerak garang pada babak pertama dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke 29, hasil jaringan Mohd Azrif Nasruhaq yang merembat masuk bola menewaskan penjaga gawang ATM, Amir Omar Khata.

Pasukan tentera menyamakan kedudukan pada minit ke 48 menerusi jaringan Yusaini Hafiz Chee Saad, dan ATM terus memperolehi gol keduanya pada minit ke-77 hasil sepakan penalti yang disudahkan oleh A. Jaganathan akibat pemain ATM, Venice Elphi Dannykaya dijatuhkan oleh pemain PKNS, Mohd Zulhariz Mohd Noor dalam kotak penalti.

Namun kegembiraan pasukan itu, anak didik Mohd Zahid Hashim berjaya dinafikan PKNS apabila Mohd Khairu Azrin menyepak kencang ke dalam gawang ATM pada minit ke-79 untuk mengikat seri jaringan tuan rumah sebelum PKNS mengorak langkah menambah dua lagi jaringan masing-masing oleh pemain gantian, Mohd Khairul Akhyar (min-87) dan Christie Jayaseelan pada minit tambahan separuh masa kedua. - BERNAMA

Artikel Lain