suria

SIC Yakin Capai Sasaran 100,000 Penonton Di Litar Sepang

SEPANG: Promoter perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC), yakin dapat mencapai sasaran 100,000 penonton pada edisi ke-13 tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata beliau yakin dapat mencapai sasaran itu berdasarkan kehadiran penonton pada sesi kelayakan, Sabtu.

"Saya masih belum mendapat angka sebenar penonton dan saya dimaklumkan jumlah kehadiran penonton pada sesi kelayakan adalah cukup memberangsangkan," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya sasaran 100,000 penonton adalah bagi tiga hari -- sesi latihan bebas, pusingan kelayakan dan hari perlumbaan Ahad.

"Anda boleh lihat tempat duduk di Grand Stand penuh dan saya cukup tertarik dengan kehadiran penonton di Hill Stand," katanya.

Tahun lepas, sejumlah 97,864 penonton hadir pada perlumbaan tiga hari itu.

SIC menjadi tuan rumah pusingan kedua Kejohanan F1 Dunia selepas pusingan pertama GP Australia di Litar Albert Park, Melbourne, pada 27 Mac lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain