suria

Pelumba Indonesia Juara Kategori Expert Perlumbaan Piala Asean Yamaha 2010

MELAKA: Pasukan Indonesia berjaya menguasai kategori expert perlumbaan motosikal Piala Asean Yamaha 2010 edisi ke-8 apabila dua pelumba negara itu berada di tempat pertama dan kedua berdasarkan pungutan mata keseluruhan di Kompleks Sukan Hang Jebat di sini petang Ahad.

Pelumba handalannya Florianus Roy muncul juara kategori itu apabila memperolehi 38 mata, 25 mata daripada kemenangan beliau di pusingan pertama kategori itu dengan catatan masa 10 minit 39.551 saat, manakala 13 mata lagi apabila beliau menduduki tangga keempat pada pusingan kedua dengan catatan masa 10 minit 41.648 saat.

"Sememangnya saya berusaha gigih untuk memenangi perlumbaan ini tetapi saingannya amat sengit terutama dari kalangan pelumba Malaysia, syukur saya bisa menang untuk team (pasukan) Indonesia," katanya ketika ditemui pemberita.

Seorang lagi pelumba Indonesia, Feriando Herdian menduduki tempat kedua kategori itu dengan memperolehi 33 mata, lapan mata daripada pusingan pertama apabila beliau menduduki tempat kelapan dengan catatan masa 10 minit 53.787 saat dan 25 mata apabila beliau muncul juara pusingan kedua kategori itu dengan catatan masa 10 minit 37.795 saat.

Pelumba negara Sharil Izzuwan Md Noor berada di tempat ketiga dengan 32 mata, dan beliau menduduki tempat ketiga dalam kedua-dua pusingan perlumbaan sekaligus memperolehi 16 mata setiap perlumbaan, masing-masing dengan catatan masa 10 minit 45.108 saat dan 10 minit 41.319 saat.

Pelumba harapan negara Hafizh Syahrin Abdullah hanya mampu menduduki tempat ke-12 keseluruhan apabila terjatuh pada kedua-dua pusingan perlumbaan.

Seramai 19 pelumba dari lima negara iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan India menyertai kategori expert dalam perlumbaan dua peringkat di mana setiap peringkat menyaksikan perlumbaan 12 pusingan sejauh 13.212 km.

Kategori novice menyaksikan pelumba Thailand, Kannasoot Sithisena muncul juara dengan memperolehi 38 mata keseluruhan menewaskan pelumba Indonesia I Ketut Madiasta yang memperolehi 30 mata.

Pelumba Filipina, John Emerson Inguito di tangga ketiga dengan 29 mata yang juga ditandingi oleh 19 peserta oleh enam negara termasuk Jepun.

Keputusan lain (perlumbaan tempatan sebanyak 10 pusingan)

Kategori 135LC

1. Md Hafiz Izuddin Shaari (9 minit 4.262 saat)

2. Nurahmad Fariznazreen (9 minit 7.163 saat)

3. Md Syafiq Abd Samad (9 minit 11.226 saat).

Kategori FZ150i

1. Zaidy Md Zaifaizal (9 minit 8.890 saat)

2. Md Rozaiman Md Said (9 minit 10.975 saat)

3. Ahmad Fuad Baharuddin (9 minit 14.357 saat).

Kategori bawah umur 17 tahun

1. Che Ku Amriq Ashraf (9 minit 13.073 saat)

2. Zulsyafiz Rosli (9 minit 20.934 saat)

3. Md Irwan Hafiz Amran (9 minit 22.841 saat)-BERNAMA

Artikel Lain