Puvaneswaran Ketuai Senarai Ikon Sukan Malaysia Dari Guangzhou - Sukan | mStar

Puvaneswaran Ketuai Senarai Ikon Sukan Malaysia Dari Guangzhou

GUANGZHOU: Beberapa atlet yang cemerlang di Sukan Asia ke-16 walaupun tidak meraih emas, boleh dilabelkan sebagai ikon sukan negara, kata ketua kontinjen Malaysia Datuk Zolkples Embong.

Beliau berkata atlet yang mengetuai senarai ikon sukan Malaysia itu ialah atlet karate, R. Puvaneswaran yang menyumbangkan emas kelapan negara dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.

"Puvaneswaran sepatutnya telah bersara daripada pertandingan kompetitif ketika umurnya kini 35 tahun. Tetapi dia menunjukkan komitmen yang tinggi dan memberikan Malaysia satu emas," katanya kepada pemberita semasa memberikan rumusan temasya ini.

Puvaneswaran mula menyertai Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1994 dan lima kali mewakili negara dengan menyumbangkan dua emas, satu perak dan satu gangsa kecuali edisi 1998 di Bangkok di mana penyertaannya dibatalkan.

Selain emas di sini, dia juga meraih emas dalam acara sama di Busan, Korea Selatan pada 2002.

Zolkples juga memuji atlet wushu wanita Chai Fong Ying yang menyumbangkan emas pada edisi Doha dan di Guangzhou.

Kejayaan Fong Ying, katanya memecah monopoli sukan yang secara tradisinya dimonopoli oleh atlet berbangsa Cina dari China, Hong Kong dan Taiwan.

Zolkples, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), turut berbangga dengan pencapaian Ibrahim Amir yang meraih perak dalam sukan billiard, acara perseorangan Lelaki 8 Bola Pool.

"Di usia 49 tahun, Ibrahim menunjukkan komitmen yang tinggi dan beliau tewas kepada pemenang emas dari Taiwan yang juga pemain Pool kedua terbaik dunia," katanya.

Bagi penembak Nur Suryani Mohamed Taibi, walaupun sekadar meraih gangsa dari acara 10m Air Rifle Wanita, satu-satunya pingat dari acara menembak, prestasinya menakjubkan kerana dapat mengekalkan konsentrasi di sini selepas beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi.

Ketika di New Delhi, Nur Suryani bergandingan dengan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim membidik emas dari acara 10m Air Rifle Berpasangan Wanita.

"Dalam tempoh 27 hari antara Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia, Nur Suryani berjaya mengekalkan prestasi," kata Zolkples.

Pasangan bola tampar pantai wanita, Luk Teck Hua dan Beh Shun Thing yang mara ke perlawanan separuh akhir sebelum tewas kepada China turut mendapat perhatian Ketua Pengarah MSN.

"Sasaran MSN hanya ke suku akhir tetapi mereka mara ke separuh akhir," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zolkples berkata Program Cabaran 2010 yang bermula pada 2007, dengan tujuan melahirkan atlet cemerlang bagi Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou, kini tamat.

Pada mulanya seramai 547 atlet berada di dalam program berkenaan dan daripada jumlah itu, 300 atlet mengatasi had dan masa kelayakan untuk beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Atlet program itu yang tidak menunjukkan peningkatan prestasi akan digugurkan bila MSN mengadakan program baru bagi menghadapi Sukan SEA di Indonesia tahun hadapan, Sukan Olimpik di London pada 2012 dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014," katanya.

Mengenai pengumuman beberapa atlet untuk menjadikan temasya di Guangzhou ini sebagai medan terakhir sebelum bersara seperti pemain badminton perseorangan Datuk Lee Chong Wei dan dua pemenang emas acara karate iaitu Ku Jin Keat dan Puvaneswaran, Zolkples berkata MSN mempunyai program pelapis untuk menggantikan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain