suria

Pengamal Media Bantu Promosi Kejohanan Piala Monsun

KUALA TERENGGANU: Pengamal media secara tidak langsung membantu mempromosi sektor pelancongan di Terengganu dengan liputan kejohanan Piala Monsun yang akan berlangsung dari 30 November hingga 5 Disember ini.

Pengurus Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia negeri Terengganu Ahmad Fathil Abd Ghani berkata menyedari hakikat itu pihaknya membawa kira-kira 50 pengamal media cetak dan eletronik dari dalam dan luar negara untuk membuat liputan kejohanan yang bertempat di Pulau Duyong, di sini.

"Tujuan utama Piala Monson ialah sebagai promosi kepada negeri Terengganu agar tiada lagi persepsi negatif di mana negeri itu tidak dapat dikunjung pada musim tengkujuh," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian kejohanan perahu layar Motour Tourism cup 2010 yang melibatkan enam pasukan termasuk pasukan dari Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), di sini.

Beliau berkata persepsi negatif itu masih ada dan dengan adanya promosi berterusan kejohanan Piala Monsun seperti kejohanan yang diadakan hari ini akan lebih memberi impak kepada sektor pelancongan negeri itu.

Beliau berkata Motour Tourism Cup diadakan bagi tahun kedua sejak dimulakan tahun lalu sempena kejohanan utama Piala Monsun yang menghimpunkan badan bukan kerajaan dan wakil media.

Katanya pengalaman yang ditimba itu boleh dijadikan sebagai aset untuk mempromosikan kejohanan Piala Monsun berdasarkan penghayatan mereka sebagai peserta pada cabaran Sabtu.

Fathil berkata mereka juga boleh menjadi duta kecil dalam mempromosikan lagi kejohanan Piala Monsun di mata dunia melalui tulisan dan pengalaman mereka.

Kejohanan akhir Piala Monsun bakal disiarkan di 183 negara, tambahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain