Analisa Prestasi Sukan Utama Negara Di Guangzhou - Sukan | mStar

Analisa Prestasi Sukan Utama Negara Di Guangzhou

GUANGZHOU: Berikut adalah analisa prestasi beberapa sukan utama yang disertai atlet negara pada Sukan Asia ke-16 di sini:

OLAHRAGA

Pencapaian terburuk skuad negara apabila gagal mengulangi kejayaan satu pingat perak oleh atlet lompat bergalah wanita Roslinda Samsu dan gangsa oleh Noraseela Mohd Khalid pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Pada saingan edisi 2010 Guangzhou, Roslinda sekadar menduduki tempat kelima dalam saingan akhir dengan catatan ketinggian 4.00 meter berbanding 4.35 meter di Doha.

Noraseela, yang mengikuti latihan di luar negara sekian lama, sekadar menduduki tempat kelima pada saingan akhir acara 400m lari berpagar dengan catatan terbaiknya tahun ini iaitu 57.22s.

Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei gagal melakukan lomptan terbaik apabila hanya mampu melakukan 2.15m untuk menduduki tempat kesembilan.

Kuartet wanita dalam acara 4 x100m, Yee Yi Leng, Nurul Sarah Abdul Kadir, Norjannah Hafiszah Jamaludin dan Siti Zubaidah Adabi mencatat 45.54s untuk tempat keenam, jauh dari rekod kebangsaan yang dilakukan mereka 45.33s.

BADMINTON

Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong gagal mempertahankan pingat emas apabila tewas kepada beregu Indonesia Markis Kido dan Hendra Setiawan dalam final.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memperbaiki warga pingat dari gangsa kepada perak selepas akur dengan kendandalan Lin Dan dari China dalam acara akhir pserseorangan.

Chong Wei turut mengumumkan edisi Guangzhou ini merupakan penyertaan terakhirnya dalam Sukan Asia.

Malaysia hanya berpuas hati dengan dua perak selepas sebutir emas dan tiga gangsa pada edisi 2006 di Doha.

BERBASIKAL

Sebutir emas menerusi Mohd Azizulhasni Awang dalam acara Keirin dan Josiah Ng mempertahankan pingat perak dalam acara sama.

Mohd Azizulhasni gagal menaiki podium dalam acara 200m pecut.

BILIARD

Jika di Doha, penyumbang pingat dari atlet wanita, giliran atlet lelaki pula menyumbang pingat dari Guangzhou walaupun warna pingat tetap sama.

Di Doha, Esther Kwan menyumbangkan satu perak dari acara individu 9 bola pool manakala di Guangzhou, pemain veteran Ibrahim Amir meraih perak dalam acara individu 8 bola pool.

KARATE

Karate merupakan penyelamat kepada kontinjen negara dalam mencapai sasaran sembilan pingat emas dari Guangzhou.

Dua emas, setiap satu dari Ku Jin Keat (Kata lelaki) dan R.Puvaneswaran (Kumite lelaki Bawah 55kg) melengkapkan sasaran tersebut.

Namun dua pemenang pingat emas tersebut berhasrat untuk mengundurkan diri dari mewakili negara selepas ini bagi memberi peluang kepada atlet muda.

Skuad karate juga menyumbangkan dua perak menerusi Jamalliah Jamaluddin (Kumite wanita lebih 68g) dan G.Yamini (Kumite wanita Bawah 61kg) dan satu gangsa yang diraih oleh Lim Lee Lee dari acara Kata Individu Wanita.

Di Doha, skuad karate menyumbangkan empat perak dan tiga gangsa.

SEPAK TAKRAW

Malaysia sekadar mengulangi pencapaian dua pingat perak dari Doha menerusi acara Berpasukan Lelaki dan Antara Regu.

Di Doha dan Guangzhou, pasukan negara masih belum mampu menewaskan kehebatan pasukan Thailand.

Prestasi pemain berpengalaman negara semakin merosot berbanding aksi cemerlang Thailand yang jauh meninggalkan negara dalam standard sukan itu.

WUSHU

Chai Fong Ying mengekalkan emas dari Doha ke Guangzhou dalam acara kombinasi Taijijian dan Taijiquan wanita, bagaimanapun di Doha, Fong Ying menang acara Taijijian sahaja.

Satu gangsa disumbangkan oleh Tai Cheau Xuen dari acara Nanquan/Nandao.

Di Doha, skuad wushu menyumbang satu emas dari Fong Ying dan dua gangsa dari Ng Shin Yii (Taijijian Wanita) dan Diana Bong (Nanquan Wanita).

Malaysia perlu memberi perhatian kepada pasukan Iran dan Vietnam yang memecah tradisi pungutan pingat yang selama ini didominasi oleh peserta China.

MENEMBAK

Penembak negara berjaya menyumbang satu gangsa menerusi Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 10m Air Rifle selepas pulang dengan tangan kosong dari Doha.

SKUASY

Walaupun bukan dalam acara Olimpik, skuasy merupakan acara penyelamat utama maruah Malaysia di Guangzhou.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar, masing-masing menyumbangkan satu pingat emas dalam cara individu wanita dan lelaki.

Nicol kemudian membantu rakan sepasukan Low Wee Wern, Delia Arnold dan Sharon Wee mengalahkan Hong Kong, 2-0 untuk pingat emas acara berpasukan tetapi malangnya pasukan lelaki tewas kepada Pakistan untuk pingat perak.

Sementara Ong Beng Hee dan Low Wee Wern, masing-masing meraih gangsa dalam acara individu lelaki dan wanita.

Di Doha, Nicol dan Beng Hee, masing-masing meraih emas acara individu wanita dan lelaki serta satu perak dari Mohamad Azlan Iskandar dalam perseorangan lelaki.

PERAHU LAYAR

Malaysia pulang dengan dua perak dan satu gangsa selepas Rufina Tan membawa emas tunggal dari Doha dalam acara Optimist wanita.

Aksi pelayar negara kurang menyengat di Guangzhou.

BOLING

Pemain veteran negara Alex Liew menjadi wira kontinjen negara apabila merangkul dua pingat emas dalam acara lelaki All-Events dan bergandingan dengan Adrian Ang untuk pingat emas acara beregu.

Sementara skuad wanita yang diharapkan terus mengekalkan rentak kemenangan di Doha tidak mampu berbuat demikian dan pulang dengan satu pingat gangsa dalam acara berpasukan.

Di Doha, skuad boling menyumbang tiga pingat emas iaitu menerusi acara trio lelaki, perseorangan wanita dan berpasukan wanita.

EKUESTRIAN

Skuad Ekuestrian negara mengulangi pencapaian di Doha dengan menghadiah satu perak dan dua gangsa.

Bagaimanapun, pingat yang dimenangi adalah melalui acara yang berbeza. Skuad ekuestrian gagal mempertahankan pingat perak acara Dressage berpasukan sebaliknya hanya meraih gangsa.

Dalam kategori individu acara yang sama, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil mempertahankan pingat gangsa, sebaliknya adiknya, Quzandria Nur mencuri tumpuan apabila buat pertama kali mengalahkan abangnya untuk meraih pingat perak.

Berbeza dengan penampilan di Doha, ekuin negara dalam acara Showjumping pulang tanpa sebarang pingat dan ketika di Doha, Malaysia pulang dengan satu gangsa melalui Husref Malek Jeremiah dalam individu eventing.

TERJUN

Penampilan di Guangzhou kali ini memberi impak yang besar, walaupun tidak memenangi pingat emas, penerjun negara menjadi pesaing terdekat atlet tuan rumah.

Walaupun acara terjun didominasi penerjun tuan rumah, China, dengan meraih kesemua 10 pingat emas yang ditawarkan, penerjun Malaysia pula mengekori rapat untuk meraih pingat perak dan gangsa.

Jika di Doha mereka pulang dengan hanya dengan satu perak dan tiga gangsa tetapi kali ini mereka memperbaikinya dengan empat perak dan lima gangsa, satu pencapaian terbaik meraka sepanjang menyertai Sukan Asia.

GIMNASTIK

Berdasarkan kepada pencapaian di Sukan Komanwel New Delhi pada Oktober lepas, skuad gimnastik artistik negara hanya menghantar seorang gimnas bagi kategori lelaki dan wanita di sini.

Selepas pusingan kelayakan individu keseluruhan, Lum Wan Foong dan Tracie Ang berjaya melangkah ke pusingan aparatus individu.

Namun, Wan Fong tidak dapat meneruskan saingan akibat kecederaan, manakala Tracie pula menduduki tempat ketujuh dalam acara aparatus titian imbangan.

Berbanding empat tahun lepas, Malaysia berjaya meraih satu perak melalui Ng Shu Wai dalam acara melombol lelaki.

Manakala Elaine Koon dan Nur Hidayah Abdul Wahid melaungkan amaran awal terhadap penampilan mereka di Sukan SEA tahun depan apabila berjaya meraih markah yang lebih baik berbanding peserta negara Asean yang lain dalam acara gimrama.

Kedua-dua mereka berada di kedudukan ke-11 dan ke-12 saingan individu all-arounds pada penampilan pertama mereka di Sukan Asia.

HOKI

Turun sebagai pasukan bukan pilihan, skuad negara mencipta sejarah dengan melangkah ke final sejak edisi 1958 di Tokya, Jepun.

Mengatasi pasukan pilihan, India, untuk ke perlawanan akhir adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Malaysia gagal merebut slot automatik ke Sukan Olimpik London 2012 apabila tewas 0-2 kepada Pakistan pada perlawanan akhir.

BOLA SEPAK

Skuad bola sepak negara biarpun dibelenggu oleh masalah kecederaan pemain utama telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke pusingan kedua selepas 32 tahun.

Anak buah K.Rajagobal mengucapkan selamat tinggal kepada temasya kali ini selepas tewas 1-3 kepada juara bertahan Iran pada saingan pusingan kedua.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arsenal Benam Villa 4-2

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Kabinet akan dirombak