suria

Skuad Hoki Negara Ditagih Pamer Aksi Bersemangat Di Sukan Komanwel

KUANTAN: Skuad hoki negara ditagih mempamerkan aksi penuh bersemangat bagi menyaingi Australia, Pakistan dan India yang berada dalam satu kumpulan dengan Malaysia di temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India yang bermula pada 3 hingga 14 Oktober ini.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui pasukan negara agak kerdil berbanding pasukan lawan berdasarkan ranking semasa.

"Kita akui tahap pemain-pemain kita masih lagi, kalau dikira ranking, (Malaysia ranking ke-15 dunia) tidak setaraf dengan ranking India (kesembilan), Pakistan (kelapan) dan Australia (pertama).

"Bagaimanapun kita kena bersedia, saya harap (skuad negara) bermain dengan baik, kalau boleh kita nak menang atau seri dalam setiap perlawanan tetapi yang penting bermain dengan penuh bersemangat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Selain Australia, Pakistan dan India, Malaysia turut diundi bersama Scotland dalam kumpulan A, manakala England, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Trinidad & Tobago berada di dalam kumpulan B.

Sementara itu, skuad hoki wanita negara pula akan bersaing dengan pasukan England, New Zealand, Kanada dan Wales dalam kumpulan B manakala Australia, Afrika Selatan, India, Trinidad & Tobago dan Scotland dalam kumpulan A bagi merebut pingat emas, perak dan gangsa.

Pasukan lelaki negara dijadual menentang pasukan tuan rumah, India pada 5 Oktober depan sementara pasukan wanita akan berdepan Kanada pada 4 Oktober.

Tengku Abdullah bertitah, pihaknya telah mengatur beberapa siri perlawanan sebagai persiapan menghadapi kejohanan itu termasuk menentang New Zealand pada 27, 28 dan 29 September ini di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain