suria

Johor FA Cadang Piala Malaysia Dihadkan Kepada Pasukan Negeri Sahaja

JOHOR BAHARU: Persatuan Bolasepak Johor (Johor FA) mencadangkan supaya pertandingan Piala Malaysia dihadkan kepada hanya pasukan-pasukan negeri.

Johor FA berkata cadangan itu bertujuan membawa kembali kegemilangan Piala Malaysia seperti di masa lampau sejajar dengan tradisi pertandingan itu.

"Kita mesti akui bahawa format sekarang di mana kelab-kelab dibenarkan bermain pada Piala Malaysia adalah tidak kondusif dan tidak akan membantu menaikkan status pertandingan.

"Terlalu banyak pasukan bertanding...ia merampas bakat terbaik yang wujud dari pertandingan perdana bola sepak Malaysia," kata presiden JFA Jais Sarday. Jais, yang juga anggota Exco Johor bagi Sukan turut mengesahkan bahawa Johor FA akan mengambil langkah permulaan dengan menggabungkan dua pasukan di bawah banner mereka - Johor FC dan Johor - bagi musim 2012.

"Mempunyai dua pasukan (dari setiap negeri) dalam pertandingan itu tidak banyak membantu. Tidak saja kita dapat menjimatkan belanja, malah kita boleh bina pasukan lebih kukuh.

"Jadi saya fikir kembali ke format asal di mana hanya badan gabungan FA Malaysia dibenarkan menyertai Piala Malaysia adalah langkah yang betul," kata Jais.

Johor FA akan menulis kepada jawatankuasa pertandingan FAM mengenai cadangan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain