suria

KBS Kenalpasti Lokasi Selaman Di Pantai

KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan persatuan menyelam di seluruh negara untuk mengenal pasti lokasi di pesisir pantai yang boleh dijadikan sebagai lokasi penyelaman dan snorkeling bagi menggalakkan belia menyertai aktiviti itu.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, tidak ramai di kalangan belia menyertai aktiviti itu memandangkan kosnya agak tinggi menyebabkan ia kurang mendapat sambutan berbanding aktiviti kembara.

"Selain aktiviti kembara, kementerian juga ingin menggalakkan belia untuk menyertai aktiviti menyelam dan snorkeling kerana dua pertiga daripada dunia diliputi air dan amat rugi jika kita tidak dapat mengenali alam di lautan.

"Namun kementerian menyedari, kos untuk aktiviti itu agak tinggi kerana ia melibatkan soal logistik dan pengangkutan di pulau.

"Sehubungan itu kementerian akan bekerjasama dengan persatuan menyelam untuk kenalpasti lokasi pesisir pantai yang boleh dijadikan pusat untuk aktiviti itu untuk menjimatkan kos dan seterusnya menarik golongan belia untuk menyertainya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program snorkeling dan aktiviti menyelam bersama Kerteh Divers Club di Pantai Ibai Penunjuk, Kijal, Sabtu.

Ahmad berkata, kawasan pantai yang mempunyai batu karang dan pelbagai spesis hidupan laut yang unik seperti di Pantai Ibai Penunjuk itu sesuai dijadikan sebagai lokasi menyelam untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti tersebut.

"Selain mempunyai pelbagai kemudahan asas, ia juga dekat dengan kawasan pantai dan mudah untuk dikunjungi," katanya.

Katanya, kementerian juga akan melatih penduduk tempatan terutama di kalangan belia untuk belajar menghargai khazanah alam itu termasuk batu karang untuk mengelakkan ia mengalami kepupusan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain