suria

Roslinda Tekad Buru Pingat Di New Delhi

KUALA LUMPUR: Ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu berusaha gigih untuk mengejar sebutir pingat tanpa mengira warna pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India bermula 3 hingga 14 Oktober ini.

Roslinda berkata, buat sementara ini beliau akan memberi sepenuh perhatian kepada persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel sebelum berfikir tentang Sukan Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 November ini.

"Sekiranya saya berjaya memperoleh pingat perak di New Delhi, saya akan pastikan kejayaan yang sama turut dicapai pada Sukan Asia di Guangzhou, China," katanya, Khamis.

Roslinda berkata, beliau perlu memberi sepenuh perhatian kepada persiapan jika ingin mengejar pingat di kedua-dua temasya itu.

"Oleh kerana telah lama tidak mengikuti mana-mana kejohanan dalam jangka masa setahun ini saya perlu menyertai kejohanan 'pemanas badan' bagi mempersiapkan diri sebelum menghadapi kejohanan besar," katanya.

Roslinda berkata beliau agak tertekan dengan sandaran pingat yang diletakkan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Negara (KOAM) namun berjanji untuk berusaha gigih bagi mencapai sasaran itu.

Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini membuat pengumunan meletakkan sandaran pingat tanpa mengira warna kepada Roslinda dan Lee Hup Wei (lompat tinggi). Pada Sukan Asia di Doha 2006, Roslinda meraih pingat perak dengan catatan 4.35m sementara di Sukan Komanwel di Melbourne pada 2006, dia hanya mampu menduduki tempat keempat dengan lompatan 4.25m.

Selain Hup Wei dan Roslinda, KOAM turut menghantar Teoh Boon Lim dan Lo Choon Siang dalam acara 20 kilometer jalan kaki, M. Vadivelan (800 meter), P. Yuvaraj (400 meter) untuk beraksi pada temasya Sukan Komanwel nanti termasuk Siti Zubaidah Adabi bagi acara 100 meter.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

EPL: Stoke City 2 - 1 Aston Villa

Artikel Lain