suria

SAM Puji Kebolehan Melaka Anjur Sukma 2010

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka, khasnya Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, kerana berjaya menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma)edisi ke-13 yang berakhir semalam dengan cemerlang dan meriah.

Setiausaha Agungnya Abdul Rahim Lajis berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan dan kerjasama pihak penganjur kepada petugas media.

"Penglibatan terus pemimpin kerajaan negeri, ketua masyarakat, kakitangan kerajaan, sukarelawan dan rakyat tempatan menjadikan suasana sepanjang Sukma ke-13 dirasakan seolah-olah tiada rakyat Melaka yang tidak terlibat dalam usaha memastikan temasya sukan itu berlangsung dengan sempurna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata beliau akan menyokong sekiranya Melaka dipilih sekali lagi menjadi tuan rumah Sukma pada masa depan kerana kejayaan penganjuran edisi ke-13 dan mendapat sambutan hangat orang ramai.

Beliau berkata apa yang menarik perhatian ialah kejayaan Melaka mewujudkan satu penanda aras yang tinggi dalam penganjuran sukan iaitu bekerja secara holistik.

"Mekanisme persiapan dan penganjuran yang digunakan oleh Melaka mencerminkan bagaimana sebenarnya sesuatu aktiviti sukan harus dianjurkan, iaitu membabitkan banyak pihak, mesra dan setinggi-tinggi azam untuk mencapai hasil yang terbaik. Kejayaan Melaka perlu dijadikan contoh," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan pengiktirafan ramai bahawa Sukan Melaka 2010 adalah penganjuran sukan yang terbaik dalam sejarah temasya sukan kebangsaan itu. -BERNAMA

Artikel Lain