suria

Senarai Akhir Atlet Ke Sukan Komanwel Diumum Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Senarai akhir atlet kebangsaan yang akan menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel di New Delhi, India Oktober depan akan diumumkan sama ada esok atau Selasa, kata Ketua Kontinjen ke Sukan Komanwel Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib.

Beliau menjangkakan penyertaan Malaysia dalam Sukan Komanwel yang berlangsung dari 3 hingga 14 Okt melibatkan sekurang-kurangnya 180 atlet dan pegawai.

Abdul Halil, yang ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Larian Queen Baton di Dataran Merdeka iaitu acara pembuka tirai Sukan Komanwel 2010 hari ini, berkata jumlah terbabit adalah bagi penyertaan dalam 15 daripada 17 acara yang dipertandingkan kecuali ragbi tujuh sebelah dan tenis.

"Pemilihan para atlet terbabit adalah berdasarkan kemampuan serta percapaian yang melepasi tahap ditetapkan," katanya, sambil menambah kata senarai atlet itu akan diumumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata semua persediaan bagi menghadapi temasya sukan empat tahun sekali itu adalah berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah dirancangkan.

Mengenai sasaran pingat, Abdul Halil berkata beliau mengharapkan kontinjen negara membawa pulang antara lapan hingga 12 pingat tanpa mengira kilauan warna.

"Kita bagaimanapun tidak meletakkan sasaran pingat bagi atlet-atlet tertentu untuk mengelakkan tekanan kepada atlet terbabit," katanya.

Kira-kira 300 peserta mengambil bahagian dalam Larian Queen Baton sejauh lima kilometer di sekitar jalan raya di ibu kota bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai temasya terbabit.

Selepas Malaysia, yang merupakan destinasi ke-66, Larian Queen Baton itu akan diteruskan di Maldives (14 Jun), Sri Lanka (17 Jun), Bangladesh (20 Jun) dan Pakistan (23 Jun) serta dijangka berakhir di New Delhi pada 25 Jun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain