suria

Lin Dan Tiada Tandingan, Kata Taufik Hidayat

KUALA LUMPUR: Juara Olimpik Athens Taufik Hidayat dari Indonesia hari ini meramalkan pemenang pingat emas Olimpik Beijing Lin Dan akan terus bertakhta sebagai jaguh perseorangan lelaki badminton dunia hingga Olimpik London pada 2012.

Taufik, pemain nombor lima dunia, berkata prestasi Lin Dan sedang memuncak sekarang dan wira China ini mampu menumpaskan dengan mudah kesemua 10 pemain terbaik dunia.

"Bagi saya, dia pemain perseorangan terbaik dunia. Kedua ialah (Datuk) Lee Chong Wei, (Malaysia), Chen Jin (China), Peter Hoeg Gade (Denmark), Bao Chunlai (China) dan selepas itu, mungkin saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada perlawanan akhir Piala Thomas antara China dan Indonesia hari ini, Taufik kalah 17-21, 14-21 kepada Lin Dan, pemain Nombor 2 dunia selepas Chong Wei.

China menjuarai kejohanan itu dengan menumpaskan Indonesia 3-0.

Taufik berkata walaupun telah menentang Lin Dan dalam beberapa kejohanan, namun dia tidak dapat mengesan kelemahan pemain China itu.

Sementara itu, Lin Dan berkata dia bukanlah pemain paling hebat.

"Saya banyak berpeluh, macam orang lain juga. Mungkin, latihan yang saya jalani menjadikan apa yang ada pada saya hari ini," katanya.

Ditanya siapakah lawan paling kuat pada kejohanan Piala Thomas kali ini, Lin Dan berkata dia gembira kerana dapat berdepan dengan pemain perseorangan terbaik dunia iaitu Chong Wei (Malaysia), Taufik (Indonesia) dan Peter Hoeg Gade (Denmark).

"Rasa saya, Chong Wei adalah lawan paling kuat. Tapi saya gembira kerana dapat mengalahkannya," kata jaguh China itu.

Pada perlawanan separuh akhir Jumaat lepas, Lin Dan mengalahkan Chong Wei 21-17, 21-8.

Ditanya tentang rancangannya selepas ini, Lin Dan berkata dia akan sibuk dengan persiapan bagi menghadapi liga badminton profesional China, yang julung kali diadakan dan dijadualkan bermula akhir bulan ini.

"Saya harap pemain seperti Chong Wei dan Taufik akan mengambil bahagian bagi memeriahkan acara itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Artikel Lain