suria

Lin Dan Kecewa Berlatih Singkat Di Stadium Putra

KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua dunia dari China, Lin Dan kecewa kerana beliau tidak dapat berlatih lebih lama di Stadium Putra, Bukit Jalil venue kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang bermula Ahad ini.

Pemenang pingat emas Olimpik Beijing itu berkata beliau terpaksa berkongsi dengan rakan-rakanya masa dua jam yang diperuntukan kepada skuad China untuk berlatih.

"Masanya amat pendek. Saya berasa tidak selesa dengan stadium, perlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri," katanya kepada pemberita.

Skuad China berlatih mulai pukul 2 petang tadi.

China memenangi kejohanan Piala Thomas tiga kali berturut-turut, di Jakarta pada 2004, Jepun (2006) dan Jakarta (2008).

China turut mengungguli pada 1982 (London), 1986 (Jakarta), 1988 (Kuala Lumpur) dan 1990 (Nagoya, Jepun).

Kali ini China diletak dalam Kumpula A bersama Korea Selatan dan Peru.

Mengenai cabaran peringkat kumpulan, Lin Dan berkata China tidak akan menghadapi sebarang masalah bertemu Korea dan Peru. Namun beliau hairan dengan langkah Korea Selatan menurunkan kembali bekas pemain perseorangan Lee Hyun Il yang telah bersara ekoran kecederaan.

"Beliau adalah pemain yang baik tetapi saya tidak fikir akan bertemunya nanti disebabkan kedudukan rankingnya. Saya dijangka bertarung dengan perseorangan terbaik Korea, Park Sung Hwan," katanya.

China akan bertemu Peru Ahad ini dan menentang Korea pada Selasa.

China akan menurunkan Lin Dan, Chen Jin, Bao Chun Lai dan Chen Long sebagai pemain perseorangan sementara beregu pasangan Xu Chen/Guo Zhendong, Cai Yun/Fu Haifeng dan Chai Biao/Zhang Nan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain