suria

Patrick Vieira Cedera; Lupakan Hasrat Turun Tentang Blackburn

MANCHESTER: Pemain tertua dengan gaji tertinggi Liga Perdana Inggeris, Patrick Vieira nampaknya terpaksa melupakan hasrat bermain buat pertama kalinya dengan Manchester City apabila disahkan cedera untuk perlawanan menentang Blackburn malam ini (awal pagi waktu Malaysia).

Pemain pertama yang dibawa masuk oleh Roberto Mancini sejak beliau mengambilalih kepimpinan pasukan itu daripada Mark Hughes pada mulanya disahkan cergas oleh doktor pasukan tetapi kemudiannya dilaporkan masih merasai kesakitan pada otot kakinya.

Situasi ini telah menjejaskan hasrat Vieira untuk turun buat pertama kalinya dalam perlawanan liga perdana sejak meninggalkan Arsenal empat setengah tahun lalu.

Kini, Vieira perlu fokus untuk kembali cergas pada perlawanan menentang Everton Sabtu depan.

Bekas pemain Inter itu terpaksa diketepikan dalam latihan bersama pasukannya semalam dan hanya dihadkan kepada melakukan latihan ringan di dalam gimnasium sahaja.

Bagaimana pun pemain itu telah melakukan ujian imbasan pada kakinya dan doktor pasukan telah memaklumkan ­Mancini adalah terlalu berisiko untuk menurunkan Vieira pada perlawanan menentang Blackburn malam ini (awal pagi waktu Malaysia).

Dengan kecederaan terbaru yang menimpa Vieira itu, Manchester City kini mempunyai empat pemain utama yang terpaksa direhatkan.

Selain Vieira, lain-lain pemain utama yang kini mengalami kecederaan ialah penyerang prolifik Roque Santa Cruz, pemain pertahanan England, Joleon Lescott dan pemain tengah Wayne Bridge.

Vieira sebenarnya agak terdesak untuk membuktikan kewibawaannya dan sentuhannya masih lagi berbisa seperti dahulu apatah lagi dengan jumlah bayaran lumayan yang bakal dia terima untuk tempoh 18 bulan kontraknya bersama Manchester City.

Untuk tempoh tersebut dia bakal menerima RM53.9 juta atau Pound Sterling 10 juta atau bersamaan dengan RM689,000 seminggu (Pound Sterling 130,000).

Pada masa yang sama, pemain itu juga ingin membuktikan analisis bekas dua orang rakan sepasukannya silap apabila mereka meragui kewibawaannya untuk membawa perubahan dan juga mengetuai jentera tengah Manchester City setiap minggu.

Jumaat lalu, Nigel Winterburn dan Lee Dixon, telah menyatakan keraguan mereka sama ada pemain yang akan berusia 34 tahun, Jun ini mampu mengekalkan aksi serta kecergasan maksimum setiap minggu.

Artikel Lain