suria

Hendrawan belum mahu letak sasaram peribadi

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Hendrawan Sugianto tidak menetapkan sebarang sasaran sepanjang kontrak selama dua tahun dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya mahu pemain-pemain bimbingannya meletakkan sasaran masing-masing. Jurulatih berumur 37 tahun dari Indonesia itu yang pernah bergelar juara dunia pada 2001 dan memulakan tugasnya membimbing skuad pelapis BAM mulai hari ini berkata, kini beliau memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu sebelum membuat sebarang perubahan terhadap program latihan sekarang.

"Saya bersedia berbincang dengan atlet sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah dan harus mempunyai hubungan baik dengan setiap pemain," katanya ketika ditemui wartawan selepas sesi latihan di Stadium Juara di sini, hari ini.

Hendrawan berkata, tumpuan beliau tidak hanya kepada pemain pelapis terkenal seperti Tan Chun Seang, Mohd Arif Abdul Latif, Chong Wei Feng and Liew Daren tetapi semua pemain di bawah BAM.

"Tidak banyak beza antara pemain pelapis Malaysia dan Indonesia kerana masalah yang dihadapi pemain lebih kurang sama. Justeru jurulatih memainkan peranan dalam membangkitkan semangat skuad pelatih," kata Hendrawan.

Hendrawan berkata, tempoh tiga bulan pertama ini merupakan waktu yang sulit kepada pemain kerana mereka perlu bekerja keras dan beliau berpendapat dalam tempoh itu, pemain perlu memberi tumpuan kepada sesi latihan, kemudian barulah difikirkan tentang kejohanan. Sementara itu, Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata, BAM sebagai badan induk persatuan badminton akan memberikan sokongan dan kemudahan kepada Hendrawan dalam misi beliau melatih skuad pelapis negara.

"Kita tahu tentang kredibiliti Hendrawan dan dia akan menjadi aset kepada BAM dan skuad badminton negara dalam melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat pada masa akan datang," katanya kepada Bernama. Hendrawan pernah memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik 2000 di Sydney dan membantu skuad Indonesia memenangi Piala Thomas pada 1998, 2000 dan 2002. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain