suria

Penantian 13 tahun berakhir, filem angkat kisah James Brooke akhirnya masuk panggung 9 Mac

Rajah bakal menemui penonton pada 9 Mac ini.

SETELAH sekian lama menanti, akhirnya filem yang mengangkat sejarah Raja Putih pertama Sarawak, Sir James Brooke (1803-1868) berjudul Rajah bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 9 Mac ini.

Kisah Brooke mendapat perhatian daripada pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Margate House Films, Rob Allyn yang begitu tertarik dengan kehidupan pahlawan tersebut.

Kata Rob, dia menjumpai buku yang berjudul Rajah Putih Sarawak, sekali gus tertarik untuk menterjemahkannya dalam bentuk filem.

"Saya mengambil masa selama tiga tahun memikirkan untuk menghasilkan filem ini.

james2 - 1

Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan bersama antara empat negara.

"Penulisan skrip filem ini bermula pada 2013 sejurus saya dan pasukan produksi bersetuju untuk menjadikan penceritaan ini sebagai sebuah filem," katanya.

Rajah mengisahkan tentang pengembaraan James Brooke sejak mula berlayar ke Borneo yang pada ketika itu masih berada di bawah kawalan kesultanan Brunei pada 1839.

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon popular termasuk Bront Palarae dan Shaheizy Sam.

Bagi Bront sendiri, dia menyifatkan peluang diberikan untuk terbabit dalam pembikinan filem sejarah negeri Sarawak itu merupakan satu pengalaman berharga buatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem Mentega Terbang bertentangan dengan akidah Islam, pihak terlibat akan dipanggil

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap hari doa Anwar jadi PM... Farid Kamil ambil risiko berlakon filem 'Anwar, The Untold Story'

"Saya rasa beruntung apabila terpilih untuk menggalas watak ini dan sangat senang untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon lain.

"Bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar di set penggambaran, jadi kesemua yang terbabit tidak ada masalah untuk berkomunikasi.

"Ada juga beberapa kesempatan untuk pelakon-pelakon luar mempelajari bahasa kebangsaan dan dialek Sarawak," ujarnya.

Sementara itu, Shaheizy pula menganggap tawaran berlakon di Sarawak menjadi cabaran utama dan merupakan pengalaman pertama buatnya.

james1 - 1

Bront teruja dapat berlakon dalam filem sejarah negeri Sarawak.

"Walaupun penggambarannya boleh dikatakan mencabar dan tidak berada dalam keadaan selesa, tetapi ia adalah pengalaman yang baik buat saya.

"Selain itu, cabarannya adalah saya perlu menggalas watak orang Melayu zaman dahulu dan menyesuaikan diri dengan bahasa serta budaya di Sarawak," katanya.

Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan bersama antara empat negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Malah, dana tunai sebanyak 30 peratus daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut disalurkan kerana pihak produksi terbabit memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran dengan kerjasama syarikat produksi tempatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain