suria

Kekuatan Naskhah, Lakonan Nadi ‘All The Money In The World’

Salah satu babak genting filem All The Money In The World.

Filem: All The Money In The World

Pengarah: Ridley Scott

Pelakon: Michelle Williams, Mark Wahlberg, Christopher Plummer, Timothy Hutton, Charlie Plummer dan Romain Duris

Genre: Drama/Thriller

Durasi: 133 minit

Pengedar: GSC Movies

Tarikh Tayangan: 28 Disember 2017

TIDAK dinafikan, filem baharu arahan bekas calon Oscar, Ridley Scott berjudul All The Money In The World sememangnya menarik perhatian ramai sebelum ia ditayangkan kepada umum sekitar penghujung tahun lalu.

Di sebalik kualiti tinggi filem berkenaan yang dicanang-canang ketika itu, dugaan dan cabaran mula menimpa penerbitan filem itu apabila Scott dengan pantas mahu melakukan penggambaran semula.

Namun, bukanlah untuk keseluruhan filem tersebut tetapi sebaliknya hanya beberapa babak melibatkan pelakon asalnya, Kevin Spacey yang digugurkan serta-merta kerana terlibat dengan dakwaan salah laku seksual yang diperkatakan sekitar Oktober lalu.

Disebabkan itu, Scott tidak menunggu lama untuk menggantikan tempat Spacey dengan bekas pemenang Oscar, Christopher Plummer yang memang pada awalnya menjadi pilihan pertama Scott untuk membawakan watak seorang jutawan dan taikun minyak ternama, John Paul Getty.

Memandangkan Scott sendiri mahu filem All The Money In The World ditayangkan pada musim anugerah di Hollywood yang sudah pun bermula dan tidak mahu menjejaskan peluang filemnya itu, maka, risiko tinggi itu diambil dan ternyata apa yang dilakukan oleh Scott memang membuahkan hasil.

All The Money In The World antara filem terbaik yang dihasilkan untuk tahun 2017.

Penggambaran semula tersebut hanya dilakukan dalam tempoh 10 hari bermula 20 November lalu dengan membabitkan kos tambahan sebanyak AS$10 juta, Scott berjaya menyempurnakan filemnya kali ini dengan cemerlang sekali.

Pun begitu, realitinya waima Spacey atau Plummer yang memegang watak John Paul Getty itu, All The Money In The World tetap berada dalam kelas tersendiri. Malah, penulis meletakkan ia sebagai sebuah filem terbaik yang dihasilkan pada 2017.

Penulis yang berkesempatan menonton filem ini beberapa hari lalu cukup mengagumi lakon layar dan penceritaan All The Money In The World yang mendapat sentuhan David Scarpa.

Naratif filem ini bermula bagaimana John Paul Getty III (lakonan Charlie Plummer) yang berada di Rom, Itali dan kemudiannya diculik oleh sekumpulan penculik yang mewakili kumpulan mafia terkenal, ‘Ndrangheta.

Daripada situ, All The Money In The World bergerak untuk menceritakan satu persatu situasi yang berlaku dalam tempoh penculikan itu selain memperkenalkan watak-watak utamanya kepada audiens menerusi karakter masing-masing.

Bekas calon Oscar, Michelle Williams memberikan persembahan lakonan yang berkesan dan meninggalkan impak.

Di sinilah audiens mula melihat bagaimana perkembangan dan latar belakang watak John Paul Getty (Plummer), Abigail Harris atau Gail (Michelle Williams) dan Fletcher Chase (Mark Wahlberg) dalam membentuk sebuah cerita yang cukup teliti sehingga ia seperti sebuah realiti yang berlaku di hadapan mata.

Penulis tidak mengatakan All The Money In The World adalah sebuah filem sempurna tetapi ketelitian dan terperincinya naskhah ini dalam menceritakan situasi dan keadaan itu membuatkan penulis berasa puas serta seronok menontonnya.

Definisi seronok itu tidak merujuk kepada sebarang humor atau jenaka kerana All The Money In The World adalah sebuah filem drama dan serius. Tetapi keseronokan itu terbit apabila menonton sebuah filem yang begitu lengkap dengan nilai estetika dalam terma penerbitan sebuah filem.

Kecemerlangan filem ini bukan sahaja terletak kepada naskhahnya tetapi aspek teknikalnya yang lain terutama sinematografi yang berupaya mencipta satu realisme kepada audiens untuk berada dalam dunia tersebut.

Ditambah pula dengan aspek penataan seni, rekaan busana dan tata rias menjadikan All The Money In The World benar-benar hidup dan membawa audiens kembali ke tahun 70-an untuk menyaksikan sebuah situasi yang pernah mendapat liputan meluas di seluruh dunia itu.

Biarpun menjadi pelakon gantian, bekas pemenang Oscar, Christopher Plummer tetap menyerlah sebagai John Paul Getty.

Pada usianya yang sudah mencecah 80 tahun, Scott membuktikan bahawa usia bukan penghalang buat dirinya untuk terus berdiri megah sebagai salah seorang pembikin filem terbaik sepanjang zaman.

Sentuhannya masih lagi berbisa dan hasil kerjanya sebagai seorang pengarah memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Walaupun All The Money In The World kurang mendapat tempat di kalangan pengkritik (bukan dalam konteks negatif) tetapi Scott tidak gagal untuk filem baharunya kali ini.

Akan tetapi, kekuatan dan nadi All The Money In The World juga sebenarnya terletak kepada aspek lakonan yang penulis sifatkan sebagai Gred A terutama lakonan Williams dan Plummer. Bahkan, Wahlberg juga tidak kurang hebatnya.

Disebabkan itu seperti apa yang penulis katakan di awal perenggan, baik Spacey atau Plummer, penulis percaya kedua-dua aktor itu berjaya membawakan watak John Paul Getty dengan cara sendiri.

Barangkali kelebihan buat Spacey apabila beliau harus melalui tranformasi dengan teknik solekan yang ternyata menyaksikan dirinya jauh berbeza daripada dirinya sebenar.

Bekas calon Oscar, Mark Wahlberg sebagai bekas pegawai CIA yang bertanggungjawab menjadi orang tengah dalam rundingan penculikan John Paul Getty III.

Namun, watak berkenaan di tangan Plummer juga hebat apabila wataknya sebagai seorang yang cukup mementingkan kuasa, wang dan berhati batu serta bersikap dingin walaupun tahu cucunya di dalam bahaya sangat berkesan.

Maka itu, tidak mustahil untuk Plummer mendapat pencalonan Oscar sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang akan diumumkan tidak berapa lama lagi.

Untuk Williams pula, selaku bekas calon Oscar sebanyak empat kali, wataknya sebagai seorang ibu yang tegas, kuat dan berpendirian memang memberikan impak.

Penulis tidak meletakkan lakonannya sebagai hebat tetapi Williams cukup bagus kerana dari awal kemunculannya dalam filem ini, sudah menampakkan lakonannya yang akan meninggalkan kesan.

Memang mustahil untuk Williams dicalonkan untuk Oscar sebagai Pelakon Wanita Terbaik kali ini kerana dia perlu berhadapan dengan persembahan hebat aktres lain tetapi, tidak mustahil dan bukan mengejutkan jika namanya tersangkut sebagai salah seorang calon nanti.

Salah satu babak filem All The Money In The World yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Keunggulan All The Money In The World sebagai sebuah filem terbaik juga adalah penerapan tema dalam maksud tersirat memang wajar ia dijadikan sebagai wadah perbincangan terutama mengambil konsep kehidupan manusia hari ini.

Daripada judulnya sahaja sudah jelas untuk mengatakan bahawa kehidupan tanpa wang, tidak akan bermakna dan membawa sebarang erti. Tetapi, mengambil pepatah Inggeris lama, money is the root of all evil juga menepati apa yang cuba hendak diketengahkan dalam filem ini.

Jika hidup sentiasa berhambakan wang, apa jua situasi juga akan membutakan diri untuk melakukan kebaikan dan memiliki ihsan serta belas dalam membantu mereka yang memerlukan. Malah, ia akan membuatkan mereka yang berkuasa dan berduit itu akan menindas mereka yang berada di bawah.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan.

Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

All The Money In The World

Artikel Lain