suria

'Bola Kampung The Movie' Tonjol Kehebatan Animasi

FILEM: Bola Kampung The Movie

ARAHAN: Wong Kuan Loong

LAKONAN: Ezlynn, Afdlin Shauki, Harris Alif, Marsha Milan, Aznil Nawawi, Adila Shakir, Baki Zainal.

GENRE: Aksi & Animasi

DURASI: 1 jam 40 minit

PENERBIT: Animasia Studio Sdn. Bhd

TAYANGAN: 21 Mac 2013

FILEM animasi yang diangkat daripada siri televisyen Bola Kampung ini merupakan filem animasi keluaran anak tempatan selepas Geng: Pengembaraan Bermula.

Filem ini tidak kurang hebatnya daripada segi plot yang kuat dan kerja keras juruanimasi yang memberi sentuhan pada warna, lukisan dan gambar membantu penceritaan filem yang banyak menonjolkan permainan di alam maya ini.

Biarpun diambil dari siri televisyen, namun jalan cerita Bola Kampung The Movie ini berdiri sendiri dan bukan kesinambungan daripada siri televisyen tersebut.

Malah penggunaan suara-suara artis terkenal tanah air seperti Ezlynn, Afdlin Shauki, Datuk Aznil Nawawi, Noh Salleh, Aizat Amdan, Marsha Milan Londoh dan Harun Salim Bachik menghidupkan lagi filem ini.

Bagaimanapun agak sukar bagi penonton untuk mengenal pasti suara-suara tersebut berikutan karakter suara mereka telah disesuaikan mengikut watak.

Watak budak lelaki bernama Iwan menggunakan suara penyanyi wanita Ezlynn, hanya watak Sabok yang dibawa oleh Afdlin Shauki sahaja yang mudah dikenali kerana karakter Sabok yang sering berjenaka tidak banyak lari dari watak-watak lakonan yang pernah dibawa oleh pelakon itu.

Bola Kampung The Movie ini berkisarkan tentang perjalanan tiga budak lelaki iaitu Iwan, Sabok dan Azizul yang digelar Perwira Suria ke alam permainan maya 'Kingdom Hill' yang diserang oleh virus.

Puteri Amanda keluar dari alam maya ke bumi untuk meminta bantuan daripada Perwira Suria.

Bagaimanapun, watak Puteri Amanda kadang kala mengganggu penonton dengan karakter yang menjengkelkan. Puteri Amanda digambarkan sebagai medium pengantara antara dunia nyata dan maya.

Pelbagai cabaran yang perlu dilalui oleh Perwira Suria yang terpaksa bertarung dengan ketua penjahat iaitu Lord Vilus (Aznil Nawawi).

Dengan bantuan penggodam komputer dari dunia realiti mereka telah cipta baju besi kepada Perwira Suria yang akhirnya berjaya menewaskan Lord Vilus.

Filem animasi ini sesuai untuk ditonton seisi keluarga terutamanya di cuti sekolah pada minggu depan.

Ia akan berada di pawagam bermula 21 Mac ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain