suria

'Rock Oo' Berjaya Hidupkan Kenangan 'rock kapak'

FILEM: Rock Oo

ARAHAN: Mamat Khalid

LAKONAN: Que Haidar, Khir Rahman, Shoffi Jikan, Pekin, Saiful Apek, Azmi Black

GENRE: Komedi, Muzikal

DURASI: 90 Minit

PENERBIT: Primeworks Studios Sdn Bhd dan Naga VXS Sdn. Bhd.

TAYANGAN: 28 Februari 2013

BUAT pengikut filem Rock (2005) yang menyaksikan kumpulan Rimba Bara mencipta nama sebagai rockers era 1980-an, inilah masanya untuk menonton kesinambungannya iaitu Rock Oo yang mula ditayangkan pada 28 Februari 2013.

Filem yang pasti ditunggu-tunggu ini menghimpunkan kisah jatuh bangun kumpulan-kumpulan rock pada ketika itu dan Rimba Bara mewakili golongan-golongan yang dipandang serong oleh masyarakat sebagai plot utamanya.

Rimba Bara yang asalnya dari sebuah kampung berhijrah ke ibu kota mengejar impian untuk bergelar kumpulan rock yang popular. Namun sebelum menempa kejayaan, mereka lebih merasai pahitnya di mana mereka telah 'dikapur' pengurus sendiri dan promoter konsert.

Mengenali karya air tangan Mamat Khalid, filem ini bukan sekadar memberi hiburan semata-mata, sebaliknya suntikan pengajaran yang memaparkan erti persahabatan, perjuangan dan ketabahan dalam mengejar impian masing-masing.

Komedi yang ditampilkan Mamat juga bukan lawak-lawak kosong atau ‘slapstik’ tetapi gelak ketawa penonton pasti akan bersilih ganti dengan rasa sedih di hati.

Tambah pula dengan lakonan hebat barisan para pelakonnya, seperti Que Haidar (Amy Mat Piah), Khir Rahman (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan) dan Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah), karya Mamat tampak sempurna dengan lakonan mantap yang dipersembahkan mereka.

Lakonan Que yang mantap itu juga semestinya dinanti-nantikan oleh peminat-peminatnya memandangkan lebih tiga tahun dia tidak beraksi di layar perak.

Filem ini mengisahkan kumpulan Rimba Bara yang hampir berpecah disatukan kembali atas semangat Amy Mat Piah yang ingin menjadi penyanyi rock terkenal.

Penyatuan ini membawa Amy bertemu dengan Jijo, Black dan juga Slash dalam rancangan mereka untuk ke Kuala Lumpur mendapatkan tawaran persembahan selepas vokalis Rimba Bara, Zul Kapan dilamar Luncai Emas untuk bersama dengan kumpulan Malaikat Maut.

Walaupun vokal Amy tidak seberapa, dia tetap bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa untuk meyakinkan Rimba Bara menjadi vokalis kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, ketika mereka pulang ke kampung halaman semula gara-gara ditipu, Zul Kapan muncul semula untuk menyertai Rimba Bara.

Berdasarkan sinopsis yang dibaca, bunyinya amat ringkas, namun, Mamat telah menyulam plot ceritanya dengan kemas. Cukup serba serbi, komedi, serius dan sedih diadun sekali.

Aliran kisah filem ini membuatkan para penonton mahu mengikuti perjalanan cerita yang mengalir dalam imbauan masa dahulu.

Bagi peminat-peminat tegar muzik rock tempatan, mungkin ada yang menyedari bahawa filem ini menyindir sini terhadap banyak pihak dalam cara gurauan.

Malah terdapat beberapa babak yang menampar kenangan lama bagi yang pernah terlibat dalam industri muzik negara pada ketika itu terutamanya pada babak memotong rambut penggiat muzik rock di khalayak.

Variasi parodi di dalam filem ini pasti akan menggeletek hati penonton lebih-lebih lagi apabila setiap babak dan watak yang Mamat tonjolkan sebenarnya mempunyai kaitan dengan penggiat seni tanah air yang enggan diberitahu siapa.

Namun, bagi peminat seni tegar, watak-watak dan babak yang dipaparkan pasti mengundang senyum dan tawa pada penonton.

Dalam pada itu, sindiran Mamat kepada generasi 80-an yang begitu taksub dengan pengaruh muzik barat turut dibawakan dengan gaya santai dan menghiburkan.

Filem Mamat disedapkan lagi apabila setiap plot cerita diiringi lagu-lagu rock yang pernah menjadi fenomena pada zaman itu seperti Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kacamata & Sendiri (May), Meniti Titian Usang, Rozana & Pawana (Search), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Tika Dan Saat Ini (Medicine) dan Sejuta Wajah & Teratai (Sweet Charity).

Turut dipaparkan Untukmu Sayang (Febian), Misteri Mimpi Syakila & Intanku Kesepian (Wings), Srikandi Cintaku (Bloodshed) serta Suci Dalam Debu (Iklim).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Kerat 14' Tidak Sehebat Judulnya

Artikel Lain