suria

'Kerat 14' Tidak Sehebat Judulnya

Kerat 14 menampilkan Aaron Aziz dan Siti Saleha sebagai tunjang utama karya pertama pengarah, Arjin Uppal.
Kerat 14 menampilkan Aaron Aziz dan Siti Saleha sebagai tunjang utama karya pertama pengarah, Arjin Uppal.
Kerat 14 menampilkan Aaron Aziz dan Siti Saleha sebagai tunjang utama karya pertama pengarah, Arjin Uppal.

FILEM: Kerat 14

ARAHAN: Arjin Uppal

LAKONAN: Aaron Aziz, Siti Saleha, Zamarul Hisham, Fouziah Gous, Arash Mohd, Ali Arami dan Salwa Razak.

GENRE: Misteri, Seram & Aksi

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: White Merpati Entertainment Sdn Bhd

TAYANGAN: Bermula 14 Februari 2013

JIKA dilihat pada tajuk filem ini ia telah cukup untuk membangkitkan adrenalina penonton terhadap filem Kerat 14 yang mengisahkan mengenai pembunuhan kejam penuh misteri dan aksi.

Pertama kali mengangkat karya itu ke layar perak, namun sayang, pengarahnya, Arjin Uppal gagal membawa filem pertamanya itu ke tahap membanggakan daripada pelbagai aspek terutama segi sub-plot sehingga menjadikan jalan ceritanya rapuh.

Entah di mana silapnya, Arjin gagal bermain dengan tajuk yang nyata mampu menggambarkan kehebatan isi ceritanya ditambah dengan barisan pelakon mantap menghiasi filem itu.

Arjin langsung tidak bermain dengan emosi dan minda penonton apabila memberikan jalan cerita ringkas dan langsung tidak menggambarkan genre yang diangkat.

Sejak awal penonton sudah boleh mengagak pergerakan karya itu yang sepatutnya memberikan debaran dan penuh teka-teki.

Malah bagi filem genre misteri, seram dan aksi, insiden dan babak ngeri pembunuhan dibuat terlalu ringkas barangkali kerana perlu mengikut syarat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Namun Arjin langsung tidak berusaha untuk menggunakan pelan lain dalam memberikan kelainan di sebalik peraturan yang perlu dipatuhinya sebaliknya kekal dengan jalan cerita ringkas dan selamat.

Bagaimanapun usaha Arjin sebagai pengarah muda perlu diberi pujian kerana untuk karya pertamanya itu cubaan untuk menghasilkan sebuah filem dengan tema berat bukan mudah.

Arjin dilihat mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh kerana dari segi pengarahan, Kerat 14 dibuat dengan kemas malah aspek visual dan teknikal lain dalam filem ini dititik beratkan.

Barangkali dia memerlukan lebih pengalaman selain menghasilkan lebih banyak filem supaya dapat mencari momentumnya sebagai pengarah muda berbakat besar.

Kerat 14 adalah filem keempat terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd selepas filem Akhirat, Kecoh Betuldan Rasuk membariskan pelakon seperti Aaron sebagai Haziq, Siti Saleha (Nurzara), Zamarul Hisham (ASP Razman), Fouziah Gous (Sasha), Arash Mohd (DSP Hamid) serta dua pelakon baru Ali Arami (Aril) dan Salwa Razak (Inspektor Sofia).

Ia mengisahkan kisah percintaan Haziq dan Nuzara namun lelaki itu terlibat dengan pelbagai aktiviti sosial dan tidak disenangi oleh teman wanitanya.

Dalam masa yang sama Aril muncul dan mula tertarik dengan kecantikan Nuzara ketika mereka berada di salah sebuah kelab di Kuala Lumpur.

Satu tragedi ngeri yang tidak disengajakan telah berlaku apabila Haziq melihat kekasihnya itu bersama dengan Aril sehingga dia membunuh lelaki itu dan mengeratnya kepada 14 bahagian.

Nadi utama filem tersebut sudah tentu terletak pada para pelakonnya iaitu Aaron Aziz dan Siti Saleha dan kemunculan mereka adalah penyelamat kepada filem ini.

Lakonan Aaron tidak menghampakan kerana mampu mewujudkan rasa debar di hati penonton terutama adegan mengerat 14 bahagian badan Aril walaupun hanya reaksi muka, pisau dan percikan darah yang ditunjukkan.

Tidak ketinggalan Saleha, walaupun kali pertama muncul di layar perak, lakonannya berada di tahap baik dan mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

Secara kesimpulannya, filem Kerat 14 masih boleh ditonton dengan tidak meletakkan harapan tinggi apabila memasuki ke panggung.

Artikel Lain