suria

‘Bohsia 2’ Kehebatan Dalam Sebuah Karya Klise

(Dari kiri) Aksi Ijan lakonan Zizan Razak dan Muz (Syamsul Yusof) dalam filem Bohsia 2: Jalan Kembali.
(Dari kiri) Aksi Ijan lakonan Zizan Razak dan Muz (Syamsul Yusof) dalam filem Bohsia 2: Jalan Kembali.
(Dari kiri) Aksi Ijan lakonan Zizan Razak dan Muz (Syamsul Yusof) dalam filem Bohsia 2: Jalan Kembali.

FILEM: Bohsia 2: Jalan Kembali

ARAHAN: Syamsul Yusof

LAKONAN: Syamsul Yusof, Nabila Huda, Salina Saibi, Zizan Razak, Sofi Jikan

GENRE: Drama, aksi

DURASI: 1 jam 50 minit

EDARAN: Skop Production

TAYANGAN: Bermula 7 Jun 2012

ANDAI saya terburu-buru menjatuhkan hukum terhadap filem Bohsia 2: Jalan Kembali berdasarkan durasi 15 minit pertama, tentu saja ia tersenarai dalam filem Melayu yang klise dan membosankan.

Masakan tidak, perjalanan awal filem ini khususnya babak pembukaan antara Amy lakonan Salina Saibi dan Serina Redzuawan dalam pusat pemulihan akhlak itu kurang mantap untuk mengikat tumpuan kepada babak-babak seterusnya.

Maka, hanyutlah saya sepanjang tempoh itu sehingga babak jenaka yang ditampilkan Muz (Syamsul Yusof) dan Ijan (Zizan Razak) mengembalikan semula kepercayaan dan tumpuan saya pada filem ini.

Momentum filem ini terus rancak dan transisi babak semakin meyakinkan, lengkap pasang surutnya yang sekali gus menjadikan filem ini baik pada persembahan dan pengisiannya.

Sebenarnya, bagi sebuah filem yang menggabungkan elemen drama, aksi, komedi dan Islamik, tentu saja proses penghasilannya tidak mudah.

Cabaran terbesar alam memastikan keberkesanan sebuah filem hibrid seperti Bohsia 2 ini adalah nilai hiburan dan mesej disampaikan dengan seimbang.

Berdasarkan apa yang saya tonton sepanjang 1 jam 50 minit itu, filem ini lulus pada aspek tersebut.

Malah saya secara peribadinya saya berkenan pada sinematografi filem ketujuh Syamsul Yusof ini. Permainan syot yang diketengahkan pengarah ini menarik dan memberikan impak lebih besar bagi babak-babak pertarungan dan kejar-mengejar.

Pada filem sekuel kepada Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) ini, fokus Syamsul Yusof terarah pada mesej dan pengisian plot yang hendak dikongsi dengan audiens.

Kalau pada bahagian pertama dulu, Syamsul Yusof ‘menjual’ aksi tetapi pada filem ini, pertaruhannya terarah pada pengisian pada skrip yang sarat dengan mesej dan pengajaran.

Nilaikan pula aspek lakonan bintang-bintang utamanya, saya berpuas hati dengan persembahan mereka. Nabila Huda sebagai Tasya, Syamsul Yusof (Muz) dan Salina Saibi (Amy) menyerlah menerusi watak masing-masing.

Nabila Huda biarpun dipagari stail lakonan yang keterlaluan dan menjelikkan sebagai seorang gadis liar dan tidak bermoral, dia cukup meyakinkan dan bersahaja dengan sisi hitam itu.

Salina Saibi yang memperlihatkan sisi baru dalam diri Amy iaitu gadis yang sudah berubah dan kembali ke pangkal jalan, turut mencuri tumpuan. Malah, percubaan pertama kali aktres ini membawakan watak baik nampak meyakinkan.

Kesederhanaan Amy yang sarat dengan emosi dan dendam kerana keterlanjurannya pada masa lalu memberikan variasi kepada pencorakan watak-watak dalam filem ini.

Begitu juga Syamsul Yusof yang makin baik mutu lakonan dan pengarahannya. Kematangan lelaki ini dalam penghasilan karya-karyanya seiring pengalaman dan peningkatan usia.

Sayangnya, saya kurang tertarik dengan lakonan Sofi Jikan sebagai Keting dan Zizan Razak (Ijan) kerana mereka hanya mempamerkan lakonan yang klise, biarpun penghayatan watak masing-masing adalah pada tahap yang baik.

Secara keseluruhannya, Bohsia 2 menghidangkan lebih daripada aksi, drama dan komedi. Mungkin temanya klise tetapi pengisiannya menawarkan sesuatu yang baik untuk industri filem kita.

Filem terbitan Skop Production dan Grand Brilliance ini merupakan sekuel kepada Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam yang ditayangkan pada 2009.

Dalam filem kali ini, ia memaparkan kehidupan Amy (Salina Saibi) yang sudah berubah daripada kehidupan silamnya yang liar.

Tasya (Nabila Huda) pula masih hanyut dengan dunia liar dan tinggal bersama kekasih baru bernama Keting (Sofi Jikan) selepas putus cinta dengan Muz (Syamsul Yusof).

Muz akhirnya memilih untuk bertaubat. Namun, mampu atau tidak Muz dan Amy mengatasi rintangan yang sering menjadi konflik dalam penghijrahan hidup dan apakah kesudahan hidup Tasya? Jawapannya dalam Bohsia 2.

Artikel Sebelum

Artikel Lain