ISTERI kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad meluahkan rasa syukur apabila proses Sulh dan hadanah yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu berjalan lancar.
Menurut Dr Afifah, dia menghargai kerjasama baik diberikan Nubhan sepanjang proses itu berlangsung.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keputusan hari ini.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan.

Dr Afifah lega anak-anak kembali berada di bawah jagaannya.
“Nak ucap terima kasih juga kepada pihak Ahmad Nubhan sebab banyak beri kerjasama. Alhamdulillah hak jagaan penuh diberikan kepada saya,” katanya kepada mStar.
Afifah berkata, keputusan itu memberi kelegaan besar kerana anak-anak kembali berada di bawah jagaannya.
“Keutamaan saya memang anak-anak. Jadi, Alhamdulillah anak-anak saya akan kembali dengan sayalah,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Afifah dapat hak jagaan tiga anak, Nubhan beri kerjasama baik
ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan fail tuntutan hadanah, mahu selesai cara baik hak penjagaan anak
Tambah Dr Afifah, sepanjang proses berlangsung, komunikasi antara mereka hanya dibuat melalui peguam.
“Selama ini memang kami berbincang melalui peguam sahaja,” katanya.
Sementara itu, Nubhan yang ditemui media enggan mengulas mengenai perkembangan Sulh dan hadanah berkenaan.

Kes perceraian Nubhan dan Dr Afifah bakal berlangsung pada 2 Disember ini.
Mahkamah turut menetapkan 2 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan semula kes perceraian pasangan itu.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille,3.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


