suria

Dr Afifah dapat hak jagaan tiga anak, Nubhan beri kerjasama baik

Dr Afifah dapat hak jagaan terhadap tiga anaknya.

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan hak jagaan tiga anak penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, diberikan kepada isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek pada Rabu. 

Perkara itu disahkan peguam syarie mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader yang memaklumkan keputusan tersebut dicapai hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“Ibu akan dapat hak jagaan kekal. Bapa (Nubhan) pula dapat hak lawatan dua kali sebulan iaitu minggu pertama dan ketiga.

Dr Afifah lega tiga anak dibawah jagaannya.

“Aidilfitri dan Aidiladha pun bergilir seperti biasa. Tak ada apa lagi nak dipertikaikan mengenai hadanah, semuanya selesai secara baik. Terma persetujuan pun sudah direkodkan sebagai perintah,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.

Kesepakatan itu dicapai di dalam Majlis Sulh sebelum disahkan mahkamah sebagai perintah rasmi.

“Terma perjanjian telah dipersetujui awal dan apabila dibawa ke Majlis Sulh, ia terus diterima serta direkodkan. Hakim juga telah mengesahkannya sebagai perintah mahkamah,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hentikan spekulasi, Nubhan rela salahkan diri sendiri... “Orang luar hanya tahu sedikit sahaja”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya hormat dia sebagai ibu kepada anak-anak” - Nubhan jawab luahan isteri minta jalan damai

Ditanya mengenai faktor persetujuan pihak Nubhan, Akberdin berkata undang-undang kebiasaannya lebih memihak kepada ibu apabila melibatkan anak yang masih kecil.

“Lazimnya, kanak-kanak kecil memang ibu yang akan dapat hak jagaan. Itu kedudukan undang-undang yang mantap,” ujarnya.

Sebelum ini Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. 

Proses pengesahan lafaz cerai Dr Afifah dan Nubhan masih lagi dalam proses.

Permohonan itu dibuat bagi mengesahkan lafaz cerai yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, serta satu lafaz rujuk selepas talak pertama. 

Untuk rekod Nubhan dan Dr Afifah yang juga doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama hampir 10 tahun, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya,8, Ahmad Aafan, 6 dan Afzan Nayille,3.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia