suria

Beri tempoh seminggu, Da'i Syed tuntut 2 wanita fitnahnya bayar ganti rugi RM1 juta

Da'i Syed menuntut dua wanita membayar ganti rugi RM1 juta terhadapnya.

PENDAKWAH selebriti Da'i Syed menuntut RM1 juta terhadap dua netizen yang dipercayai memfitnahnya sebagai ganti rugi terhadap reputasi dan nama baiknya dalam tempoh tujuh hari.

Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohamad Shaiful Jamalullail, 28, memaklumkan pampasan tersebut sebagai ganti rugi untuk gangguan kesihatan mentalnya yang terjejas akibat fitnah dilemparkan terhadapnya.

Pendakwah selebriti itu memaklumkan perkara itu menerusi penyata tuntutan yang dikeluarkan peguamnya Syed Amirul Syed Edros dan dimuat naik di Instagram miliknya pada malam Rabu.

Dalam pada itu, tuntutan itu turut menuntut agar video yang mengaitkan namanya yang dimuat naik di media sosial dipadam dalam tempoh sama.

syed2 - 1

Da'i Syed bersama isteri dan peguamnya pada sidang media yang diadakan pada Isnin lalu.

Tidak hanya itu, Syed turut menuntut permohonan maaf bertulis daripada kedua-dua pihak bagi menunjukkan rasa penyesalan dan insaf atas perbuatan fitnah dilakukan.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu juga hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh Syed sebelum dimuat naik ke semua akaun media sosial pihak berkenaan.

Malah Syed juga berhak untuk menuntut memuat naik permohonan maaf tersebut di media sosial miliknya.

Tidak hanya itu, Syed juga menuntut aku janji bertulis daripada pihak berkenaan agar tidak mengulangi perbuatan yang sama kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Wanita tuduh isteri gugur kerana kifarah kes rogol, Da’i Syed ambil tindakan terhadap dua netizen kerana fitnah

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed bebas tuduhan jenayah seksual... Pengadu alami kemurungan, beberapa kali cederakan diri

Seterusnya, Syed turut menuntut jaminan keselamatan daripada pihak berkenaan termasuk ahli keluarga mahupun waris tidak menganggu kehidupan Syed untuk masa akan datang.

"Satu jaminan keselamatan bertulis daripada pihak kamu bahawa kamu, ahli keluarga, waris atau mana-mana ejen yang mempunyai perkaitan dengan kamu.

"Tidak akan mengambil sebarang tindakan yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman hidup anak guam dan keluarga pada masa akan datang," ujar kenyataan itu.

Sekiranya tiada tindakan mengikut tempoh yang ditetapkan, pihaknya Syed bakal meneruskan tindakan undang-undang sivil terhadap individu berkenaan.

TOP syed - 1

Da'i Syed menuntut lima perkara terhadap dua wanita yang memfitnahnya.

Sebelum ini, menerusi satu sidang media yang diadakan Syed memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua netizen yang dikenali sebagai Nurul Atiqah dan Ainun Najwa atas tuduhan memfitnahnya di media sosial.

Kata Syed, tindakan berkenaan diambil selepas tular satu video dan kenyataan disifatkan berbaur fitnah di muat naik oleh dua individu tersebut.

Pada April lalu, Syed meluahkan rasa syukur apabila Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang penganggur wanita.

Malah pada Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya juga melepaskan dan membebaskan (DNA) Syed atas pertuduhan mencabul serta melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain