suria

Yasin Sulaiman terkejut dan cemas ketika diserbu, polis jumpa 13 pokok ganja disorok dalam almari

Yasin ditahan pada Mac tahun lalu melibatkan jenayah dadah.

PENYANYI dan komposer Yasin Sulaiman berada dalam keadaan terkejut dan cemas sewaktu polis menyerbu kediamannya di Damansara pada Mac tahun lalu.

Saksi ketiga pendakwaan iaitu Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, tertuduh berada dalam keadaan itu selepas beberapa anggota memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, tertuduh yang sedang berdiri dilihat cemas serta terkejut dengan kehadiran polis.

"Semasa serbuan, hanya tertuduh seorang berada di dalam rumah tersebut," katanya.

yy4

Saksi ketiga pendakwaan tampil membuat kenyataan.

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Darwis berkata, pada 24 Mac tahun lalu, serbuan dibuat kira-kira pukul 5.30 petang bersama pasukan yang tiada di kondominium Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home.

Ketika serbuan dibuat, pintu jeriji besi hadapan dan pintu kayu utama tertutup dan berkunci.

Bimbang barang kes dilupuskan, pihak polis mengumpil pintu jeriji besi dan kemudian memecahkan pintu kayu utama sebelum masuk ke dalam rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Yasin Sulaiman tak waras ketika kejadian, tiga pertuduhan berkaitan dadah diteruskan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Berat badan semakin bertambah sejak masuk Hospital Bahagia, keluarga positif Yasin Sulaiman bebas tuduhan dadah

"Selepas pintu jeriji besi dan pintu kayu utama rumah berjaya dibuka, saya dan pasukan serbuan masuk ke dalam rumah.

"Saya kenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa dan tahan seorang lelaki Melayu di hadapan pintu masuk utama dalam rumah itu," ujarnya.

Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui plastik lutsinar bertulis 'Diamond' di dalamnya berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja seberat 74 gram dan satu plastik lutsinar bertulis 'Diamond' yang berisi leraian daun kering disyaki ganja seberat 140 gram.

Kesemua jumlah keseluruhan dadah disyaki ganja itu seberat 214 gram.

yy1

Polis menemui 13 pokok ganja disorok dalam almari kediaman Yasin.

Selain itu, pihak polis juga menemui satu almari kain berwarna hitam dan di dalamnya terdapat tiga pokok dalam pasu disyaki pokok ganja.

Turut dirampas satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, satu lampu grow light, dua lampu led, dua lampu limpah dan satu alat menyiram tanaman.

Sementara itu, pemeriksaan seterusnya dalam bilik pertama sebelah kiri kediaman menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dalam almari pakaian tersebut.

Polis kemudian menemui satu pokok dalam pasu disyaki pokok ganja di ruangan balkoni rumah dan turut dirampas dari atas meja bahagian ruang rumah itu adalah pasport milik Yasin.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

yy3

Yasin berdepan dengan tiga pertuduhan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin diwakili oleh peguam Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain