suria

Dr Fitri Haris didakwa kena ‘scam’ dapat pengiktirafan antarabangsa… “Saya sudah semak, ia bukan penipuan”

Fitri menyangkal dakwaan kononnya dia discam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KECOH pula jadinya apabila penyanyi Dr Fitri Haris didakwa terkena ‘scam’ selepas ditawarkan untuk tersenarai sebagai individu paling berjaya di Malaysia bagi dimuatkan dalam buku Ensiklopedia BritishPedia Edisi ke-4 2022.

Ia rentetan ada pihak mendakwa nyaris diperdaya selepas mendapat tawaran serupa selain meminta individu yang dihubungi agar melihat pencapaian diri untuk layak disenaraikan dalam sesebuah pengiktirafan tertinggi.

Menjawab tuduhan tersebut, Fitri memberitahu dia sudah menyemak kesahihan badan berkenaan sekali gus menafikan dakwaan wujud unsur penipuan atau dia perlu mengeluarkan wang untuk mendapat pengiktirafan tersebut.

“Semestinya saya sudah semak dahulu dengan pakar. Pengiktirafan tersebut daripada badan profesional yang berpengkalan di United Kingdom.

Fitri

Fitri menjelaskan sudah membuat semakan terhadap badan berkenaan selain merujuk pada pakar.

“Tidak wujud unsur penipuan seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

Dalam pada itu, Fitri menjelaskan kekeliruan mungkin berlaku disebabkan terdapat pihak yang kurang faham tentang pengiktirafan daripada pihak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Fitri Haris terima pengiktirafan individu paling berjaya, setaraf tokoh ternama Malaysia dalam Ensiklopedia Britishpedia 2022

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah keluarga di media sosial, tetap ada yang ‘berbunyi’... Johan harap ilmu disampaikan berguna untuk anak-anak

Justeru katanya, orang mudah tersalah anggap dan jika benar ia satu penipuan, dia sendiri tidak akan berkongsi kepada umum mengenainya.

“Saya ada baca komen-komen tentang pengiktirafan yang diterima. Orang sebenarnya salah anggap kerana ia bukanlah satu anugerah sebaliknya pengiktirafan menerusi kejayaan saya sendiri.

“Dalam buku itu ada banyak segmen dan saya tersenarai dalam kategori seni dan media,” ujarnya.

Semestinya saya sudah semak dahulu dengan pakar. Tidak wujud unsur penipuan seperti yang didakwa.

DR FITRI HARIS

PENYANYI UNIC

Fitri menerusi satu edaran kenyataan media kepada mStar pada Jumaat memberitahu perlu menjalani temu bual tiga bulan lalu untuk memastikan kesahihan maklumat sebelum layak menerima 'certificate' dan dimasukkan dalam ensiklopedia.

Kata Fitri, pengiktirafan itu akan dimuatkan dalam Ensiklopedia BritishPedia 2022 yang akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu seorang pengguna Facebook mendedahkan dirinya pernah mendapat panggilan sama daripada pihak BritishPedia yang ingin menyenaraikan wanita itu sebagai 100 rakyat Malaysia paling berjaya pada tahun 2020.

"Saya punya soalan mudah sahaja iaitu 'apa yang membuatkan anda fikir saya berjaya?' Itu pun pemanggil tak dapat hendak menjawab," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Individu itu turut mendakwa pihak BritishPedia memang pernah menyenaraikan profil seperti Tun Dr Mahathir Mohamed, Tan Sri Tony Fernandez sebagai umpan bagi memperdayakan mangsa.

Malah alamat yang kononnya berpangkalan di London tidak diketahui sama ada wujud atau pun sebaliknya.

"Orang kita ini mudah sangat makan umpan. Upah staf yang boleh slang 'Mat Salleh'. Kita pula percaya dan rasa terharu," ujarnya.

Dakwa dia lagi, penerima pengiktirafan juga perlu membeli buku berkenaan dalam jumlah tertentu memandangkan ia tidak dijual di kedai.

Wanita tersebut bagaimanapun tidak mempertikaikan pencapaian Fitri namun berharap penyanyi itu lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain