suria

Neelofa dan PU Riz dilepas tanpa dibebaskan kes langgar SOP kedai karpet Nilai

Pasangan ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal melakukan imbasan MySejahtera atau mendaftar maklumat secara manual sebelum memasuk premis kedai.

PASANGAN selebriti sensasi Noor Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.

Ia berkaitan pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai permaidani di Nilai, Mei lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Daripada semut dah jadi gajah” - Neelofa hadir Mahkamah Seremban kes langgar SOP beli karpet, peguam yakin ada peluang cerah

Beliau menetapkan 21 Disember ini bagi perintah pelepasan dan pembebasan (DNA).

Sementara itu, peguam mewakili pasangan itu, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah berkata, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Neelofa.

"Pihak pendakwaan juga sudah menerima dokumen representasi yang kita dikemukakan sebelum ini dan Peguam Negara sudah bersetuju bahawa perkara ini bukanlah begitu besar tetapi dibesar-besarkan.



Neelofa dan PU Riz tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pukul 9.30 pagi, Rabu.

"Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok (norminal amaun) dan selepas kita bayar kita datang balik, sebab kompaun bukan sesuatu perintah yang sama dengan didapati bersalah. Ia neutral tidak ada rekod langsung.

"Kita akan kembali di sini pada 21 Disember nanti untuk keputusan dilepaskan dan dibebaskan. Biarpun ketiga-tiga tuduhan itu kita boleh lawan dan mungkin dengan senang kita boleh menang, tapi ia akan berlarutan," katanya.

Tambahnya, perkara itu tidak harus dipanjangkan atau berlarutan lagi kerana keadaan Neelofa yang sedang hamil dan tidak sesuai kes berkenaan terus berjalan.

Tidak dapat menyatakan kadar kompaun yang akan dikenakan namun beliau menjangkakan ia adalah rendah.

"Kami berpuas hati dengan keputusan perbicaraan hari ini, jadi pada 21 Disember nanti keputusan akan dibuat daripada melepas tanpa membebaskan kepada dilepas dan dibebaskan," katanya.

Neelofa dan Muhammad Haris berbaju biru tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira pukul 9.30 pagi, Rabu.

Sebelum ini pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal melakukan imbasan MySejahtera atau mendaftar maklumat secara manual sebelum memasuki sebuah kedai karpet yang terletak di Kawasan Perindustrian Nilai 3 pada pukul 4 petang 2 Mei semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikuatkuasakan.

Muhammad Haris juga mengaku diadili atas tuduhan lain kerana tidak memakai topeng muka di tempat awam di tempat dan waktu yang sama.

Mereka didakwa berdasarkan Peraturan 19 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (perintah pergerakan bersyarat) 2021, yang memperuntukkan denda tidak lebih dari RM50,000, hukuman penjara tidak lebih dari enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

TONTON VIDEO PILIHAN

Neelofa, PU Riz, Nilai, Karpet, SOP,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain