suria

Kertas siasatan kes majlis nikah Neelofa dan PU Riz langgar SOP sampai ke Bukit Aman - Polis

Polis perlu menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum apa-apa tindakan diambil.

AKHIRNYA siasatan berhubung majlis pernikahan pasangan selebriti Neelofa dan pendakwah bebas, Haris Ismail yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selesai.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kertas siasatan itu diserahkan kepada Bukit Aman pada Jumaat.

"Saya mengesahkan siasatan telah lengkap dihantar ke Bukit Aman hari ini sebelum diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Neelofa minta maaf, menyesal tak tunjuk contoh baik - “Ada banyak perkara yang saya terlepas pandang”

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya perlu menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum apa-apa tindakan diambil.

TONTON VIDEO NEELOFA MOHON MAAF!

Neelofa akui gagal tunjuk contoh baik.

"Berhubung sama ada mereka akan dikenakan kompaun atau tidak, itu pihak Pejabat Peguam Negara yang ada kuasa untuk menentukannya.

"Apabila keputusan dah ada saya akan maklumkan," ujarnya.

Terdahulu Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 32, menerusi rakaman video kepada mStar berkata, keluarganya dan suami Haris atau Pencetus Ummah (PU) Riz, 26, turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan.

Saya dan suami menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa.

NEELOFA

PELAKON/ PENGACARA

Neelofa dan Riz juga hadir ke IPD Dang Wangi pada Isnin lalu bagi tujuan yang sama.

Ujar Neelofa dia terbuka menerima sebarang tindakan daripada pihak berkuasa berhubung isu pelanggaran SOP.

"Saya seikhlas hati mohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun luar pengetahuan saya.

Foto yang mencetuskan pertikaian ramai.

"Saya dan suami menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Neelofa dan Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain