suria

[VIDEO] Da’i Syed tak sabar jumpa ibu, akhirnya dilepaskan dengan ikat jamin - “Saya perlu sedikit ruang untuk pulihkan jiwa dan mental”

SELEPAS 19 hari menjalani tahanan reman di lokap termasuk di Pusat Tahanan Reman Sementara di Beranang, pendakwah muda Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail akhirnya dilepaskan dengan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM35,000 masing-masing RM25,000 di Mahkamah Petaling Jaya dan RM10,000 di mahkamah Shah Alam.

Setelah melalui satu tempoh sukar dan mencabar, Syed Shah Iqmal ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya memaklumkan perkara pertama yang ingin dibuat ialah bertemu ibu tercinta.

"Alhamdulillah saya sihat dan semuanya baik-baik sahaja... mula-mula sekali nak makan dengan emak, saya nak berehat di rumah, bertenang dengan keluarga dan lepaskan rindu dengan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Selepas 13 hari di lokap, Da’i Syed terpaksa bermalam di pusat tahanan... Ikat jamin RM35,000 tak sempat nak bayar

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat dan mereka yang mendoakan kebaikan untuk saya, kalau tak ada mereka saya pun tiada semangat.

"Cuma buat masa ini saya perlu sedikit ruang untuk pulihkan jiwa dan mental... saya akui sedih dan cuma mampu berdoa," katanya kepada mStar pada Selasa.

Syed Iqmal bersama pengurusnya, Aizat (kiri) dan peguam Syed Amirul (kanan).

Syed Shah Iqmal ditemui selepas selesai proses jaminan kira-kira pukul 2.40 petang, Selasa.

Turut hadir peguam mewakili Syed Shah Iqmal iaitu Syed Amirul Syed Edros dan pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.

Menyedari dikecam teruk netizen di media sosial, Syed Shah Iqmal berkata dia memaafkan semua pihak yang melemparkan pelbagai tohmahan dan kritikan terhadapnya.

"Sekarang ini saya hanya mampu berdoa supaya Allah permudahkan urusan saya. Sebaik-baik orang adalah yang meminta maaf dan orang yang terbaik adalah yang memaafkan.

"Sekali lagi saya mohon maaf dan saya maafkan orang yang hina dan kutuk saya!" ujarnya.

Sekali lagi saya mohon maaf dan saya maafkan orang yang hina dan kutuk saya!

SYED IQMAL

PENDAKWAH SELEBRITI

Pada Khamis lalu, Syed sepatutnya dilepaskan dengan ikat jamin bagaimanapun pihaknya gagal membayar jumlah yang ditetapkan sebelum kaunter bayaran di mahkamah ditutup pada pukul 5 petang.

Sehubungan itu Syed terpaksa dihantar ke Pusat Tahanan Reman Sementara Beranang, Selangor sementara menantikan proses ikat jamin selesai.

Dalam pertuduhan ke atasnya pada Khamis lalu, Da'i Syed mengaku tidak bersalah bagi tiga tuduhan jenayah seksual masing-masing di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya serta Mahkamah Sesyen, Shah Alam.

Bagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Syed Shah Iqmal mohon dibicarakan berhubung dakwaan melakukan seks luar aturan tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan perbuatan cabul mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua dakwaan itu.

Syed Iqmal ditahan reman selama 19 hari.

Sementara di Shah Alam pula, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol seorang penganggur wanita berusia 23 tahun dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Rofiah Mohamad mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin dengan tiga syarat ditetapkan mahkamah.

Syarat itu ialah tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa, melapor dirikan di Balai Polis Kota Kemuning, Shah Alam pada setiap 1 haribulan bermula 1 Januari ini selain dilarang berhubung dengan mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan pada 19 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes masing-masing di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Manakala 25 Januari ditetapkan untuk pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain