suria

“Ibu dan abangnya selalu tanya perkembangan... tak putus doa supaya dia kuat” - Pengurus Da'i Syed

Pengurus Da’i Syed, Mohd Aizat Jaafar berkata pendakwah selebriti itu dalam keadaan baik-baik sahaja.

BIARPUN masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku, ibu dan abang Da'i Syed sentiasa bertanya perkembangan terkini dan mengirim kata-kata semangat kepada pendakwah itu sepanjang 13 hari ditahan reman.

Pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar memberitahu pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail itu turut mendapat kata-kata semangat dari rakan-rakan yang mendoakan dia terus kuat berdepan ujian.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Selepas 13 hari di lokap, Da’i Syed terpaksa bermalam di pusat tahanan... Ikat jamin RM35,000 tak sempat nak bayar

"Sekarang ini saya memang selalu berhubung dengan ibu dan abang Da’i Syed, mereka selalu tanya perkembangan terkini. Apa pun terjadi ibu dan abangnya sentiasa kirim kata-kata semangat dan doa tak putus-putus supaya dia kuat melalui ujian ini.

Da’i Syed hadir ke mahkamah dengan memakai baju berwarna biru.

"Buat masa ini dia memang sangat memerlukan sokongan. Alhamdulillah, kawan-kawan dia pun banyak bagi semangat. Saya nampak dia hari ni baik-baik saja," katanya kepada mStar.

Aizat ditemui di perkarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas prosiding pendakwaan terhadap Da’i Syed pada Khamis.

Mengulas mengenai aktiviti seni, Aizat berkata, pihak pengurusan iaitu Universal Music Malaysia masih memantau perjalanan kes tersebut.

"Pihak syarikat pun tidak memberikan apa-apa kenyataan lagi sehinggalah kes ini betul-betul selesai sebab ia masih lagi dalam siasatan.

Pendakwah selebriti ini dihadapkan dengan tiga pertuduhan jenayah seksual pada Khamis.

"Tapi tidak dinafikan sedikit sebanyak perkara ini memberikan kesan terhadap kerjaya seni. Walaupun begitu, Da’i Syed tetap kuat semangat dan kesihatan diri dia pun di tahap yang okay," katanya.

Da’i Syed didakwa atas tiga pertuduhan cabul, rogol dan seks luar tabii di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Petaling Jaya pada Khamis.

Dia mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi ketiga-ketiga dakwaan tersebut.

Tidak dinafikan perkara ini memberikan kesan terhadap kerjaya seninya.

MOHD AIZAT JAAFAR

PENGURUS DA’I SYED

Pendakwah yang dicungkil bakatnya menerusi sebuah program realiti keagamaan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan serta Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain