suria

[VIDEO] Da’i Syed didakwa buat seks luar tabii, rogol... berdepan penjara 30 tahun

PENDAKWAH selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan bagi dua pertuduhan membabitkan jenayah seksual.

Pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Da'i Syed didakwa melakukan persetubuhan luar tabii pada 17 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed direman 5 hari untuk siasatan kes rogol gadis

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Terima kasih banyak semua... alright thank you” - Da'i Syed mahu bersihkan nama, reman disambung 5 hari lagi

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap penuntut berusia 22 tahun di Blok Empire City, Damansara Perdana kira-kira pukul 3 pagi.

Tertuduh mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.



Da'i Syed mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding pada Khamis, Timbalan Pendakwa Raya, Vitiya Monisha Paranthaman memohon tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dengan menegaskan kesalahan yang dilakukan adalah serius atas faktor keselamatan serta dikhuatiri mengganggu mangsa.

Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik.

SYED AMIRUL SYED EDROS

PEGUAM DA'I SYED

Bagaimanapun peguam bela, Syed Amirul Syed Edros pula mengatakan bahawa tertuduh memberikan kerjasama yang baik ketika siasatan polis dan segala pencarian bukti di rumah tertuduh juga telah dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik. Malah semasa siasatan bagi kes tangkapan pertama, tertuduh sendiri hadir tanpa bantahan," kata Syed Amirul.

Namun Vitiya menawarkan jaminan berjumlah RM100,000 dengan syarat-syarat tambahan jika mahkamah membenarkan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan dan tidak mengganggu mangsa.



Da'i Syed hadir di Mahkamah Petaling Jaya dengan memakai baju biru.

Mahkamah juga menetapkan 21 Februari tahun depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Sebaik selesai prosiding di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal kemudian berdepan tuduhan lain di Mahkamah Majistret.

Kali ini dia dituduh melakukan perbuatan cabul mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penuntut dengan maksud untuk mencabul kehormatan di Blok Empire City, Damansara Perdana kira-kira pukul 3 pagi.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Ketika hujahan, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris berkata, sekiranya tertuduh dibenarkan ikat jamin, jumlah yang harus dinyatakan adalah sebanyak RM100,000.

Bagaimanapun peguam bela meminta jumlah tersebut dikurangkan susulan situasi tertuduh yang menampung keluarganya sejak 2013 dan keadaan kewangan terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak, Majistret Mohamad Ikhwan menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes dan memerintahkan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

Selepas selesai dua pertuduhan di Mahkamah Petaling Jaya, Dai Syed dibawa ke Mahkamah Shah Alam bagi pertuduhan lain.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain