suria

Sajat tak bertudung di KLIA, tapi bertelekung di Makkah - “Sepanjang pelepasan ikut garis panduan, cuma sebaliknya berlaku di sana”

Gambar kiri menunjukkan Sajat bersama rakan-rakannya tanpa mengenakan tudung ketika di KLIA.

SUSULAN kebimbangan ramai mengenai penampilan usahawan kosmetik, Nur Sajat ketika mengerjakan umrah dengan berpakaian seperti wanita lengkap bertelekung, agensi pelancongan yang menguruskannya tampil membuat kenyataan.

Menurut Albayt Travel Sdn Bhd, Sajat mengikut garis panduan pemakaian yang ditetapkan sebelum semua jemaah berlepas ke Tanah Suci Makkah.

“Untuk trip keluarga Sajat tunaikan umrah, kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan umrah dengan saranan supaya ikut garis panduan ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ia cukup aib! Maruah dan aurat wanita di Makkah boleh tercemar” - PU Amin bimbang Sajat tunai umrah berpakaian wanita

“Sekiranya lelaki semestinya dengan penampilan lelaki dan sebaliknya untuk perempuan.

“Jadi sepanjang pelepasan semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan. Cuma sebaliknya berlaku apabila di sana,” kata agensi itu menerusi Facebook pada Ahad.

Terdahulu Sajat menerusi laman sosialnya meluahkan rasa syukur apabila rombongan ke Tanah Suci bersama ahli keluarga dan anak angkatnya berjalan lancar dan dipermudahkan.

Sajat membalas komen netizen mengenai penampilannya sebelum berlepas ke Makkah.

Perkongsian Sajat mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen khusus membabitkan pemakaiannya.

Lebih membimbangkan apabila tular sekeping foto Sajat bersama rombongan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memakai jubah putih dan berjaket denim tanpa tudung.

Namun Sajat berkongsi foto dia di atas kapal terbang dengan memakai pakaian yang sama namun kali ini dia dilihat lengkap mengenakan hijab seperti wanita.

Pada ruangan komen, Sajat memberitahu pengikutnya bahawa dia hanya bertudung ketika mengerjakan umrah.

“Saya bukan wanita bertudung, buat apa nak pakai awal-awal. Kat Malaysia pun buka tudung, nak mengerjakan umrah je saya pakai tudung.

“Kalau saya mempermainkan agama Allah dah bagi bala kat sini,” katanya.

Hasil semakan mStar di Facebook agensi pelancongan itu, rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dan marah kerana dikatakan gagal memantau perkara itu.

“Kita sama-sama doakan supaya Sajat dan yang bersamanya dapat hidayah daripada Allah. Mudahan di sana Allah tunjukkan kebenaran.

“Hanya dia dan Allah yang kenal dia. Kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan tetamu Allah.

“Selebihnya hanya Allah yang tahu. Sama-sama doakan supaya Allah tunjukkan jalan yang benar kepadanya,” tulis agensi itu lagi.

Nur Sajat

Artikel Lain