Vida perlu ganti barang kemas RM80,000... Aishah beri masa dua minggu - Sensasi | mStar

Vida perlu ganti barang kemas RM80,000... Aishah beri masa dua minggu

Aishah tuntut Vida membayar ganti harga pameran barang kemas berjumlah RM80 ribu dan permohonan maaf secara terbuka.

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman perlu membayar harga pameran (price tag) barang kemas berjumlah RM80,000 kepada penyanyi Aishah pada atau sebelum 17 Julai ini.

Bukan itu sahaja, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sidang media khas mengikut tempoh masa sama.

Kedua-dua tuntutan itu merupakan hasil mediasi antara Aishah dan Vida yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Sengketa Aishah, Vida berakhir... Isu berlian palsu selesai cara mediasi “Akhirnya boleh tidur lena”

Butiran berkenaan dikongsikan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54, menerusi sidang media bersama peguamnya, Muhammad Izwan Azmi di Petaling Jaya pada Rabu.

Aishah beri tempoh dua minggu kepada Vida.

Selain itu, Vida juga perlu membayar kos sebanyak RM7,500 kepada peguamcara Aishah pada atau sebelum Ahad ini.

Sekiranya Vida gagal memenuhi kesemua  persetujuan tersebut sebelum tarikh yang ditetapkan,  pihak penyanyi Janji Manismu itu akan mengambil tindakan undang-undang mengikut pelaksanaan mahkamah.

Perbalahan antara Aishah dan Vida tercetus apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengenai hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik itu adalah palsu.

Aishah mengetahui bahawa barangan kemas yang diterima hasil hadiah kemenangan selepas menjuarai progam Gegar Vaganza musim keempat itu palsu selepas mengadakan pemeriksaan di kedai emas.

Aishah juga telah mula mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Emprire.

Dalam pada itu, peguam Aishah turut memberitahu pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire yang gagal menyerahkan hadiah utama sebidang tanah seperti dijanjikan.

"Kini pihak Aishah sudah mula ambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire.

"Kami sudah beri tempoh kepadanya sejak kali terakhir bertemu dengan pihak mereka sekitar September tahun lalu.

"Namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada mereka," kata Izwan.

Aishah , Datuk Seri Vida

Artikel Lain