suria

Masalah disiplin punca kontrak Shahrol sebagai penyampai Suria ditamatkan

Masalah disiplin jadi punca kontrak Shahrol di Suria ditamatkan.

PERSOALAN kenapa penyampai Suria yang juga pelawak Shahrol kadang-kadang mucul dan ada kalanya tidak di stesen radio itu terjawab apabila dia sebenarnya menghadapi masalah disiplin yang teruk dan sering ponteng kerja.

Perkara itu menyebabkan Kumpulan Radio Star (SRG) terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontraknya.

Pihak pengurusan Suria dalam satu kenyataan berkata, penamatan tersebut berikutan faktor prestasi kerja yang kurang memuaskan selama dia berkhidmat kurang enam bulan di stesen itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahrol Hanya 3 Bulan Bersama Suria FM

ARTIKEL BERKAITAN: Shiro bawa pulang RM500,000 juara Maharaja Lawak Mega 2018

“Dia sebenarnya menandatangani kontrak selama setahun tetapi pihak kami terpaksa menamatkan kontrak tersebut berkuat kuasa pada 11 Januari 2019 yang mana kurang enam bulan dia berkhidmat di stesen radio ini.

Shahrol (tengah) bersama Fizi Ali (kiri) dan Issey mengendalikan segmen Team Pagi Suria.

“Selain daripada prestasi kerja Shahrol  kurang memuaskan, dia juga ingkar perintah dan melanggar peraturan serta garis panduan kerja yang ditetapkan seperti tidak hadir bertugas tanpa pemberitahuan, lewat memulakan tugas sebagai penyampai segmen pagi, kerap mengambil cuti sakit (MC) tanpa mengemukakan sijil daripada pegawai perubatan serta tidak menghadirkan diri ke acara yang dianjurkan Suria,” jelas kenyataan tersebut.

Pada Jumaat lalu, Shahrol bersama Ajak yang menganggotai kumpulan Shiro diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) yang melayakkan mereka mendapat RM500,000.

Dalam sidang media selepas kemenangan itu Shahrol mendedahkan dia tidak menyambung kontraknya selepas enam bulan bekerja sebagai penyampai radio Suria menerusi segmen Team Pagi Suria bersama Issey dan Fizi Ali yang disertainya sejak 1 Ogos 2018.

Tambah kenyataan itu, hebahan mengenai isu tersebut lewat daripada tarikh kontrak ditamatkan atas faktor menghormati tumpuan dan komitmen Shahrol yang menyertai MLM2018.

“Kami tidak membuat hebahan awal tentang penamatan kontrak Shahrol kerana tidak mahu fokusnya dalam MLM2018 terganggu.

Shahrol (kiri) dan Ajak yang menubuhkan kumpulan Shiro muncul juara Maharaja Lawak Mega 2018 pada Jumaat lalu yang melayakkan mereka berkongsi RM500,000

“Hari ini (Selasa) adalah masa paling sesuai untuk membuat pengumuman tersebut,” tambah jurucakap tersebut.

Dalam pada itu pihak Suria sedang mencari pengganti Shahrol untuk menemani Issey dan Fizi Ali dalam masa terdekat.

Pihak pengurusan turut berterima kasih kepada dua penyampai Team Pagi Suria yang banyak membantu mengekalkan momentum Suria sepanjang ketiadaan Shahrol.

Shahrol pernah menyertai Suria pada tahun 2017 namun hanya berkhidmat selama tiga bulan sahaja sebelum beralih ke Best FM di Johor.

Dia kemudiannya ditawarkan semula sebagai penyampai Suria pada tahun lalu.

Shahrol Shiro, Suria

Artikel Lain