suria

Izzue Islam dan Forteen dipertemukan dalam sebuah ‘drama air mata’

Forteen dipertemukan dengan Izzue Islam ketika berada di konti Suria FM pada Jumaat.

KONTROVERSI antara pelakon Izzue Islam bersama tiga anggota Forteen yang lain memasuki episod baharu apabila mereka akhirnya bersemuka bagi menyelesaikan kemelut yang melanda dan ia disiarkan secara langsung menerusi segmen Suria Petang di Suria FM pada Jumaat.

Pertemuan itu bagaikan sebuah drama apabila keempat-empat mereka berpelukan dan masing-masing menangis selepas selesai ditemubual.

Perbincangan di antara mereka yang pada awalnya berlangsung dengan tenang bagaimanapun mula bertukar tegang sehingga ada dalam kalangan mereka yang menitiskan air mata.

Pun begitu, pertemuan itu disifatkan sebagai berjaya merungkai beberapa persoalan yang terbuku dalam hati masing-masing namun mereka masih perlu duduk berbincang bagi menyelesaikan masalah berbangkit antara satu sama lain.

ARTIKEL BERKAITAN: “Korang tak patut buat aku macam ni, tak bersyukur ke?” - Izzue Islam

ARTIKEL BERKAITAN: “Izzue yang tak nak berbincang… Adakah dia mahu kami melutut?” - Forteen

Ameer dan Izzue saling berpelukan dan memohon maaf.

Izzue bagaimanapun berkata, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak lagi bersama Forteen namun tidak menolak kemungkinan dia akan bersatu kembali.

Kata Izzue, apa yang paling penting ketika ini, dia dapat bertemu dengan rakan-rakannya untuk memulihkan keadaan dan ikatan persahabatan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

"Masih ada beberapa perkara belum diselesaikan tapi syukur kerana dipertemukan dekat sini.

"Saya tetap dengan pendirian untuk keluar daripada Forteen tetapi keputusan itu mungkin boleh berubah.

"Apa paling penting sekarang kami pulihkan keadaan... Luahkan apa yang terbuku dalam hati dan itu adalah keutamaan ketika ini," katanya.

Forteen memberitahu masih memerlukan Izzue dalam kumpulan itu. 

Ahad lalu Izzue mengejutkan peminat apabila mengumumkan meninggalkan Forteen semasa segmen karpet merah final Gegar Vaganza musim kelima (GV5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, Ariz pula memberitahu mereka sebenarnya masih terkejut dengan keputusan Izzue itu dan masih memerlukannya.

Katanya lagi, insiden pergaduhan di antara mereka tidak sepatutnya dijadikan alasan Izzue menarik diri dan berharap pelakon itu dapat mengubah fikirannya.

"Kami perlukan Izzue tapi apa pun kami tak boleh paksa keputusan dia dan kami terima.

Izzue turut membawa kek untuk rakan-rakannya. 

"Sudah tujuh tahun kami bersama dan perkara ini tak sepatutnya dijadikan alasan untuk berpecah.

"Saya harap situasi ini boleh diubah selepas kami duduk berbincang kerana apa yang terjadi pun kerana masing-masing marah dan ego tinggi," katanya.

mStar difahamkan kemelut antara mereka mula timbul apabila Izzue diketepikan dalam beberapa perkara ketika menyertai GV5 yang lalu sehingga menyebabkan dia berkecil hati.

Malah Izzue menganggap Forteen tidak perna mengenang jasa dan pengorbanannya selama ini.

Selain Ariz dan Izzue, Forteen turut dianggotai oleh Ameer dan One. Forteen berjaya bertahan selama tujuh minggu dalam GV5 sebelum tersingkir pada peringkat separuh akhir. 

Izzue Islam, Forteen

Artikel Lain