suria

Perjalanan awal Black Hanifah jadi inspirasi drama Suara Sunyi Di Subuh

Suara Sunyi Di Subuh diinspirasikan perjalanan awal Black Hanifah yang sanggup mengejar impian jadi penyanyi.

SEBUAH drama digital yang sarat dengan kisah perjuangan dan harapan, Suara Sunyi Di Subuh kini mula mencuri perhatian penonton sejak ditayangkan sepanjang Ramadan.

Naskhah terbitan Mantayay Sdn Bhd itu bukan sekadar menampilkan kisah kehidupan biasa, sebaliknya menyelitkan inspirasi daripada perjalanan awal karier penyanyi terkenal, Black Hanifah yang pernah bermula daripada bawah sebelum mencapai kejayaan dalam industri muzik.

Sejak mula bersiaran pada 19 Februari lalu, drama tersebut mendapat maklum balas positif apabila jalan ceritanya yang menyentuh emosi berjaya memberi inspirasi kepada penonton.

Imran Aqil (kiri) dan Fahrin Ahmad merupakan teraju utama drama ini. 

Dalam drama ini, watak Black digambarkan sebagai seorang penghantar makanan yang gigih bekerja demi kelangsungan hidup, namun pada masa sama menyimpan impian besar untuk menjadi seorang penyanyi terkenal.

Kisah tersebut diinspirasikan daripada pengalaman sebenar Black Hanifah sendiri yang pernah melalui pelbagai cabaran sebelum namanya dikenali dalam industri hiburan.

Bagi menambah kekuatan emosi penceritaan, drama ini turut menampilkan lagu Hadirmu Ramadan nyanyian Black sebagai salah satu runut bunyi utama, sekali gus menjadikan perjalanan watak itu terasa lebih dekat dan realistik kepada penonton.

Gabungan elemen muzik serta konflik kehidupan menjadikan watak Black sebagai simbol bahawa cita-cita besar tidak pernah terbatas oleh pekerjaan atau latar belakang seseorang.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas kejayaan ‘Bidaah’, ‘Pabila Dia Tersenyum’ pula dijangka cetus fenomena

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka viral Istanbul buat Sherry Alhadad tersenyum, beritahu Presiden UTV dah jumpa hero telefilem ‘Kekasihku Abang Jagung’... Bell Ngasri pula tanya ‘best’ ke jagung dia?

Selain perjalanan hidup Black, drama ini turut mengetengahkan kisah Sharil yang bekerja sebagai pengurus pejabat sebelum membuat keputusan berani meninggalkan kerjaya tetap untuk membuka bengkel motosikal sendiri.

Keputusan tersebut pada awalnya dipandang sinis oleh sesetengah pihak, malah Sharil juga berdepan detik mencabar apabila bengkel miliknya hampir mengalami kerugian besar.

Namun semangatnya untuk bangkit dibantu oleh komuniti penunggang motosikal yang sentiasa memberi sokongan, sekali gus membentuk hubungan persahabatan yang kuat ketika melalui saat sukar.

Barisan pelakon yang membintangi drama Suara Sunyi Di Subuh. 

Dalam salah satu babak penting, Sharil menggunakan rangkaian komuniti ‘rider’ untuk mendapatkan alat ganti motosikal yang diperlukan. Sebagai balasan, dia membantu membuka peluang kepada Black untuk menghantar demo lagu ke sebuah studio rakaman profesional, peluang yang berpotensi mengubah masa depan Black.

Drama ini turut dibintangi beberapa pelakon popular tanah air seperti Fahrin Ahmad, Imran Aqil, Danish Iskandar dan Hanna Halim.

Suara Sunyi Di Subuh boleh ditonton menerusi platform TikTok dan Instagram di akaun @terpalingcerita dengan dua episod baharu disiarkan setiap hari sepanjang Ramadan.

Artikel Lain