suria

Zulin Aziz kunci mulut punca cerai, mahu jaga aib dan silaturahim bekas suami… “Biarlah menangis di rumah saja”

Zulin lebih selesa mengunci mulut tentang punca penceraiannya.

PELAKON dan pengacara Zulin Aziz enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan dengan bekas suaminya, Farhan Norzaini pada 18 Disember tahun lalu.

Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 37, berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga aib serta hubungan baik antara kedua-dua belah keluarga.

Kata Zulin, perpisahan yang berlaku diselesaikan secara baik tanpa sebarang perselisihan.

"Saya bercerai secara baik dengan bekas suami. Hubungan kami dan keluarga pun masih baik. Alhamdulillah doakan yang baik-baik.

Hubungan Zulin dan bekas suami masih baik.

"Kami tidak mahu berkongsi apa-apa (punca penceraian). Lagipun kita di bulan Ramadan sekarang ini. Saya nak menjaga silaturahim kami dan tidak mahu membuka aib sesiapa.

"Saya menghormati pihak sana (bekas suami) dan keluarga sendiri. Kami dah berbincang baik-baik untuk mengunci mulut," katanya kepada mStar.

Zulin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 yang diadakan di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Zulin tidak menafikan perceraian dalam kalangan artis sering menerima persepsi negatif daripada segelintir pihak yang mudah membuat andaian.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulin Aziz sah bercerai, selesai tempoh idah

ARTIKEL BERKAITAN: Zulin Aziz beri bayangan sudah cerai selepas setahun kahwin

Menurutnya, masyarakat luar tidak mengetahui apa yang dilalui seseorang individu dalam mengharungi bahtera rumah tangga.

"Orang cakap senang, kenapa bercerai? Mudah saja orang label artis ini bercerai macam beli baju.

"Tapi mereka (netizen) tidak duduk dekat kaki kita. Kita pun tak kongsikan (punca cerai) kepada mereka sebab tiada keperluan pun.

"Saya selesa dengan apa yang saya buat ini (kunci mulut) selepas melihat pengalaman orang lain yang bercerita tentang kisah penceraian mereka. Saya ambil ini sebagai iktibar," ujarnya.

Saya bercerai dengan baik dengan suami. Hubungan kami dan keluarga pun masih baik. 

ZULIN AZIZ

PELAKON & PENGACARA 

Sementara itu, Zulin turut berkongsi dia kini sedang berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas berpisah walaupun mengakui masih menyimpan kesedihan.

"Saya kini dalam fasa pemulihan. Perlahan-lahan, saya cuba buat macam biasa. Bergelak ketawa untuk menutup rasa sedih.

"Saya tidak suka terlalu emosi. Kerja saya pula kena melawak. Biarlah kalau saya menangis di rumah saja.

"Biar orang nampak yang indah-indah saja cukuplah," katanya.

Sebelum ini, Zulin mendedahkan dia sudah sah bercerai pada 18 Disember tahun lalu.

Perkahwinan Zulin dan Farhan (kanan) hanya bertahan selama tiga tahun.

Menurut aktres berkenaan, dia juga telah selesai menjalani tempoh idah dan baharu bersedia untuk berkongsi perkara tersebut.

Untuk rekod, Zulin dan Farhan bernikah pada 20 Februari 2022.

Kemelut rumah tangga pasangan ini pernah menjadi bualan apabila mereka dikatakan membawa haluan masing-masing selepas setahun berkahwin.

Bagaimanapun hubungan Zulin dan Farhan dilihat kembali pulih.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan

Artikel Lain