suria

Sekadar berseloroh jawab peminat, Siti Nurhaliza minta penggiat seni ambil pengajaran... “Tak perlu luah untuk merendahkan orang lain”

Siti Nurhaliza seru penggiat seni saling hormat dan elak luah perkara negatif di media sosial.

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan tindakannya menjawab pertanyaan peminat di aplikasi Threads bukan bertujuan membalas kritikan mana-mana pihak, sebaliknya sekadar berseloroh. 

Menurut Siti, komen yang ditinggalkan itu dibuat selepas mengambil kira kematangan dirinya, selain menghormati keprihatinan peminat yang bertanya mengenai isu berkenaan.

“Dulu bila saya nak bercakap, saya rasa tak payahlah.Cuma sekarang ini saya sudah lebih matang, tapi saya tiada maksud untuk membalas semula (kritikan dibuat), cuma saya menjawab pertanyaan peminat saja. 

"Apabila peminat saya bertanya kenapa individu ini membuat kenyataan sebegini, saya sekadar menjawabnya sambil saya menyanyi dan berseloroh.

Siti secara berseloroh memberi respons terhadap pertanyaan peminat di aplikasi Threads miliknya.

"Bagi saya usikan seperti ini menceriakan saya lagi, namun peminat saya ini bijak.

"Sebab itu kadang-kadang saya tak perlu nak berlawan dengan orang kerana peminat saya pun dah melenting. Jadi biar mereka saja yang bersuara, dah cukup. Apapun ketika itu saya sekadar berseloroh dengan peminat,"katanya. 

Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-47 dan apresiasi media di Monstera Hall, Forest Valley, Cheras, Kuala Lumpur pada malam Jumaat. 

Menurut Siti, dia bagaimanapun berharap insiden berkenaan dapat dijadikan pengajaran kepada semua penggiat seni agar saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. 

“Walau bagaimanapun ini sebagai pengajaran kepada orang dalam industri supaya kita sama-sama raikan dan hargai semua orang dalam industri yang sama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa dia buat begitu, apa salah saya pada dia?” - Siti Nurhaliza

ARTIKEL BERKAITAN: Ulang konsep sama bukan tuju pada Siti Nurhaliza, Iman Tang kritik penganjur lain… “Bukankah apa yang dipersembahkan itu sudah hebat?”

"Jangan sesekali rasa diri kita lebih bagus. Industri seni kita tidak sebesar industri di luar negara dan kita akan berjumpa dengan orang yang sama.

"Kalau ada perkara yang tidak manis atau elok untuk diperkatakan, tak perlulah nak luah dekat situ (media sosial) untuk merendahkan orang lain.

"Lebih baik kita saling menyokong. Mungkin luahan itu pada awalnya saya tak baca, tapi akan ada orang yang tulis hingga akhirnya saya dapat tahu.

"Tak perlu sebenarnya kita nak luah di media sosial. Kita raikan dan sokong industri muzik. Baru je nak rasa meriah, tapi bila ada negatif begini, ia tidak bagus,"katanya. 

Siti meluangkan masa bertemu rakan-rakan media yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya. 

Sebelum ini, Siti membalas pertanyaan seorang peminat di aplikasi Threads susulan kritikan seorang individu yang didakwa tidak berpuas hati terhadap penganjuran Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari lalu. 

Bingung dengan kritikan tersebut, penyanyi berusia 47 tahun itu mempersoalkan perkara berkenaan dalam nada santai dan berseloroh. 

Siti turut menceriakan suasana dengan meninggalkan lirik lagu Jerat Percintaan pada hantaran berkenaan.

 

Artikel Lain