suria

Dituduh buat filem mengarut, Erma Fatima bidas kenyataan netizen - “Jangan main petik sahaja”

Erma terbuka terima pandangan orang ramai.

PENGARAH Erma Fatima tampil membidas pandangan seorang individu yang mendakwa dia hanya menerbitkan karya tanpa memberi sebarang mesej baik kepada penonton.

Kata Erma, 58, hasratnya untuk menghasilkan karya sebegitu sering dihalang oleh kekangan modal kerana tiada pelabur.

Dia pada masa sama menegaskan karya-karya yang pernah ditayangkan sebelum ini juga mempunyai mesej tersendiri sebagai pengajaran untuk masyarakat.

Komen balas Erma di Instagram.

“Kalau boleh memang teringin nak buat cerita macam itu, tapi tiada duit. Apa kata Kak Nor jadi penderma saya. Confirm esok juga saya siapkan skrip.

“Tak baik cakap cerita saya mengarut. Tengok ke tidak drama saya? Jangan main petik sahaja,” katanya.

Erma menulis perkara itu sebagai respons kepada seorang individu yang meminta dia menghasilkan sebuah karya bergenre kemanusiaan seperti filem The Voice of Hind Rajab yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembali duduk kerusi pengarah, Erma Fatima elak ‘muka baharu’... Tak cukup masa mahu beri latihan 

ARTIKEL BERKAITAN: Erma Fatima muak dengan kecaman netizen, tak tahu latar belakang pelakon transgender... “Saya bukan pengikut video seks”

Individu yang menggunakan nama Nordiah Ahmad di media sosial itu juga menganggap filem dan drama Erma sebelum ini sebagai mengarut.

Erma pada masa sama memberitahu dia sendiri memberi sokongan terhadap filem The Voice of Hind Rajab dan merancang untuk pergi menonton bersama rakan-rakannya.

Malah, dia sendiri mengajak individu berkenaan untuk hadir sebagai tanda sokongan terhadap filem itu.

“Saya rancang dengan kawan-kawan nak pergi tengok Ahad ini. Saya nak jemput sertai sekali. Saya belanja. Saya tunggu akak… jangan tak datang,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain