PELAKON Rebecca Nur Al-Islam menasihati golongan wanita khususnya ibu tunggal agar tidak sesekali membuka aib bekas pasangan meskipun melalui fasa perpisahan yang sukar.
Menurut Rebecca, 39, sebagai wanita dan ibu, menjaga maruah bekas suami juga bermakna menjaga maruah anak-anak.
Pelakon berkenaan turut menegaskan pentingnya berserah kepada ketentuan Ilahi dan terus memperbaiki diri selepas melalui proses perceraian.
"Untuk wanita di luar sana, sebagai ibu tunggal kena ingat semua hanya pinjaman. Apa paling penting jangan pernah bercerita mengenai aib pasangan masing-masing.

Rebecca terus kuat sebagai ibu tunggal.
"Bagaimana untuk kita menyelesaikan masalah, kita kena pandang muka anak-anak sebab bila awak mengata pasangan, awak akan mengata diri anak-anak sendiri sebenarnya.
"Anda kena ingat, anda bercerai dan mempunyai anak. Allah itu Maha Kaya. Saya percaya sepenuhnya kepada Allah. Saya percaya yang Allah akan beri benda yang baik untuk kita," katanya.
Rebeca berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram milik the_creative_factory_my.
Mengulas lanjut mengenai kehidupannya sebagai ibu tunggal, Rebecca menjelaskan tanggungjawab yang dipikul bukan ringan dan ia menuntut kekuatan mental serta emosi.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka perkahwinan berakhir dengan perceraian, Rebecca Nur Al Islam masih ‘down’… “Saya baru keluar rumah dua kali”
ARTIKEL BERKAITAN: Banglo mewah milik Rebecca Nur Islam berjaya dilelong RM2.92 juta, dua tahun didakwa gagal bayar pinjaman rumah
Tambahnya, selepas berpisah dengan bekas suami, kekuatan diri amat diperlukan untuk memastikan kebajikan anak-anak tetap menjadi keutamaan.
"Seperti yang anda semua tahu, saya baru menjalani kehidupan membiasakan diri sebagai ibu tunggal kepada tujuh orang cahaya mata.
"Allah bagi kita sesuatu benda yang tanggungjawabnya lagi besar. Kita tak boleh pentingkan diri sendiri.
"Bila berlakunya perpisahan antara saya dengan bekas suami, saya kena kuatkan diri saya. Kalau saya lemah, sedih, patah semangat dengan perkara yang sedih itu, kasihan dengan anak-anak saya," ujarnya.
Sebagai ibu tunggal kena ingat semua hanya pinjaman. Jangan pernah bercerita mengenai aib pasangan masing-masing.
REBECCA NUR AL ISLAM
PELAKON
Meskipun sudah berpisah, Rebecca memberitahu hubungan bekas suami iaitu Datuk Nur Azam Sulaiman dan anak-anak masih dalam keadaan baik.
"Kita cuba yang terbaik sebagai keluarga. Bapa (bekas suami) mereka pun masih okay dengan anak-anak.
"Alhamdulillah okay saja, ayah mereka takkan saya nak halang itu ayah dia.
"Harapan saya semoga dapat menjadi ibu yang kuat di masa akan datang untuk anak-anak saya. Semoga anak-anak saya sentiasa sihat sebab saya takut kalau mereka sakit," katanya.

Rebecca reda dengan segala ketentuan Allah.
Pada Oktober lalu, ketika ditemu bual mStar, Rebecca memberitahu dia tidak menyangka apabila perkahwinan yang dibina selama 14 tahun berakhir dengan perpisahan pada awal Mei lalu.
Kata Rebecca, demi menjaga aib kedua-dua belah pihak dia enggan berkongsi punca perceraian dengan bekas suami.
Untuk rekod, Rebecca mendirikan rumah tangga dengan Nur Azman pada 14 Januari 2011.
Rebecca mempunyai tujuh orang cahaya mata.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


