BERSEMPENA 25 tahun perjalanan seninya, penyanyi terkenal Shila Amzah tampil dengan album berjudul SA25 sebagai penghargaan buat peminat setia yang teguh menyokong sejak awal kemunculannya pada tahun 2000.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata album tersebut membawa pendengar menyusuri pelbagai fasa penting dalam hidup dan kerjayanya sepanjang dua dekad setengah bergelar anak seni.
“SA itu mewakili nama saya, Shila Amzah, manakala 25 merujuk ulang tahun saya dalam industri. Ini adalah fasa terbaik dalam hidup dan kerjaya saya,” katanya.

SA25 serlahkan sisi matang Shila.
Menurut Shila, SA25 bukan sekadar kompilasi lagu, sebaliknya sebuah naratif muzik sarat emosi yang menggambarkan kematangannya sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik.
“Album ini adalah jurnal hidup saya. Setiap lagu mencerminkan situasi berbeza yang pernah saya lalui. Walaupun bekerjasama dengan beberapa komposer, DNA muzik saya tetap dikekalkan kerana mereka semua mengenali saya secara peribadi dan profesional,” ujarnya.
Daripada keseluruhan 10 lagu baharu dalam SA25, Shila mengakui 'Sirna Hati' merupakan karya paling berat untuk disiapkan kerana ia menggali kembali episod penderaan emosi dan fizikal yang pernah dilaluinya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Mak pun berhak bahagia”... Shila Amzah terharu jadi ‘pengawas’ cinta ibu
ARTIKEL BERKAITAN: Kali pertama jadi ‘mak pengantin’, Shila Amzah kongsi pengalaman urus majlis nikah ibu
“Menulis lagu itu seperti menghidupkan semula memori yang sukar. Namun suami saya, Ubai, banyak membantu dan menggalakkan saya menulis bagi menutup buku lama,” kongsinya.
Album SA25 turut menggabungkan sentuhan nama-nama kreatif yang sudah lama bersama Shila, antaranya Izzy Musa, Raja Nazrin Shah, serta Ubai sendiri sebagai penulis lirik.

Shila teruja kongsi jurnal hidupnya bersama peminat.
Album ini memuatkan 10 lagu baharu, 1 lagu ‘remake’ serta empat 'bonus track' yang membawa pendengar menyusuri beberapa fasa penting dalam hidup dan kerjayanya.
Antara lagu yang membuai emosi peminat seperti Kamu, Untukmu, Pernah Punya Aku, Walau Hati Telah Beku Bersama Mimpi, Tinggal Kenangan dan banyak lagi.
Lebih istimewa, Shila turut merakam semula lagu popular Memori Tercipta yang pernah melonjakkan namanya selepas program One In A Million.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


