suria

Dua kali tolak tawaran GV demi keluarga, kini Felix AF3 lebih sedia

Felix sudah bersedia meluaskan kerjaya seni di Semenanjung Malaysia.

NAIB juara Akademi Fantasia musim ketiga, Felix Agus mendedahkan bahawa dia pernah dua kali menolak tawaran untuk menyertai program realiti popular, Gegar Vaganza (GV).

Felix, 43, berkata keputusan itu dibuat atas faktor keluarga yang ketika itu memerlukan perhatian sepenuhnya.

Kata Felix, kini situasi telah berubah dan bersedia sekiranya dijemput menyertai pertandingan tersebut.

Felix kini merupakan penyampai radio di Sabah.

"Sebelum ini saya pernah ditawarkan menyertai GV beberapa tahun lepas. Dua kali saya tolak tawaran itu. 

"Tawaran pertama saya terpaksa tolak kerana isteri saya sedang hamil. Kemudian tawaran kali kedua juga terpaksa ditolak kerana isteri saya melahirkan anak. 

"Kalau ditanya sekarang mungkin saya sudah bersedia kerana anak-anak pun sudah besar ," katanya ketika dihubungi mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Felix Agus (AF3) mahu angkat semula namanya

ARTIKEL BERKAITAN: Pendam banyak kisah, Amylea tak rindu zaman jadi peserta AF3

Dalam pada itu, Felix memberitahu dia sudah lama berhasrat untuk meluaskan kerjaya seni di Semenanjung Malaysia, namun disebabkan beberapa kekangan dan kerja tetap dia terpaksa melupakan hasrat itu. 

"Sekarang ini memang ada perancangan nak meluaskan kerjaya di Kuala Lumpur tetapi banyak halangan buat masa ini. 

"Dengan anak-anak saya yang masih bersekolah dan saya pun bekerja sepenuh masa di sini (Sabah). Banyak benda yang saya kena fikir.

Kalau ditanya sekarang mungkin saya sudah bersedia kerana anak-anak pun sudah besar. 

FELIX AGUS

PENYANYI

"Kalau sekadar lancar lagu di Semenanjung mungkin boleh," ujarnya.

Selain menyanyi, Felix kini aktif bekerja sebagai penyampai radio Kupi-Kupi FM di Sabah. 

"Selain menyanyi dan berlakon. saya memang daripada dulu minat untuk menjadi penyampai radio. 

"Sebenarnya saya masih menyanyi dan berlakon tetapi semuanya di Sabah. Kalau di Kuala Lumpur memang jarang sekali," katanya. 

Dari kiri: Marsha, Felix, Mawi dan Amylea merupakan pelajar AF3.

Untuk info, nama Felix mula dikenali selepas bergelar naib juara AF3 pada tahun 2005. 

Suaranya yang lunak dan personaliti merendah diri menjadikannya antara peserta paling diingati dalam sejarah AF.

Antara lagu popular nyanyian Felix termasuk Warkah Berlagu Pilu dan Aku Pencintamu. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia