PELAWAK Namie mendedahkan rakan sepasukannya dalam kumpulan Nanas iaitu Achey sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi menghasilkan prop sepanjang penglibatan dalam program Muzikal Lawak Superstar musim kelima (MLS5).
Menurut Namie, 29, jumlah yang dibelanjakan Achey bukanlah sedikit, malah mencecah angka yang cukup besar demi memastikan setiap persembahan mereka berada pada tahap terbaik.
“Saya boleh katakan Achey mendahulukan duit dia sehingga mencecah empat angka untuk final.
Namie dedah Achey dahulukan duitnya sendiri untuk prop kumpulan Nanas.
“Tapi jika dikumpulkan secara keseluruhan selama lapan minggu, memang mencecah lima angka,” katanya kepada mStar.
Namie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui sejurus selepas sidang media pentas akhir MLS5 yang berlangsung di Royale Theatre Shah Alam, Selangor pada malam Sabtu.
Mengulas mengenai penggunaan prop yang dihasilkan sendiri, Namie menjelaskan kumpulannya tidak pernah berniat untuk mengetepikan pasukan prop produksi, sebaliknya mereka bimbang permintaan yang terlalu rumit akan menyukarkan banyak pihak.
“Kami bukan mengetepikan pasukan prop, tapi kami sedar betapa susahnya prop yang kami mahukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nanas juara Muzikal Lawak Superstar 5, bawa pulang RM150,000
ARTIKEL BERKAITAN: Maryam You Narae diumum peserta MLS5, Bella Astillah pula duduk di kerusi juri
“Mungkin risau kalau kami minta tapi tak dapat apa yang diinginkan. Nanti jadi perbalahan atau salah faham.
“Kami minta izin dan ada win-win situation antara kami dan pasukan prop,” jelasnya.
Ditanya tentang agihan hadiah kemenangan RM150,000, Namie berkata sebahagian jumlah itu akan diberikan kepada individu yang banyak membantu Nanas dalam perjalanan mereka selama lapan minggu bersaing.
“Bagi kami, untuk RM150,000 itu… ada sebahagian yang kami salurkan terutamanya kepada orang belakang kami, dan kami sangat hargai mereka.

Nanas ketika diumumkan sebagai juara MLS5.
“Nanas bukan kerja kami bertiga sahaja. Kadang-kadang peminat pun dah macam pasukan produksi kami,” ujarnya.
Selain Namie dan Achey, kumpulan Nanas turut dianggotai pelawak Shashic.
Pada malam Sabtu, Nanas diumumkan sebagai juara MLS5 selepas berjaya mengetepikan tiga pencabar lain iaitu kumpulan Roda, Kimbab dan Puteh.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


