PELAKON Que Haidar tidak melatah apabila trend Jamilah yang dilakukan mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, berkata pada usianya kini dia hanya mahu menjalani kehidupan dengan tenang tanpa memikirkan komen sinis daripada mana-mana individu.
“Sebenarnya ramai saja yang buat (trend Jamilah), tapi bila saya yang buat terus nampak salah. Bukan nak kata saya besar, cuma kalau boleh saya tak nak ulas mengenai perkara itu.

Que tak ambil pusing kritikan netizen.
“Saya sudah lebih 20 tahun dalam industri seni. Sekarang saya cuma nak nikmati hidup saja,” katanya kepada mStar.
Que ditemui pada sesi Meet & Greet duta Jakel 2026 yang berlangsung di Jakel Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurut Que, dia tidak kisah jika ada pihak yang bercakap buruk mengenai dirinya, termasuk mendakwa cuba meraih perhatian.
Katanya, dia tidak mahu bersikap sama seperti mereka yang mengkritik sebaliknya lebih suka meraikan dan menyokong rakan industri.
ARTIKEL BERKAITAN: Mulianya hati Que Haidar.... Tak marah gambar digunakan tanpa kebenaran, siap bantu promosi
ARTIKEL BERKAITAN: “Macamlah kita hamak sangat nak tengok dada dia” - Penonton geli lihat penampilan Que Haidar di GV12, Ramli MS tegur pun tak jalan
“Kalau mengutuk atau memandang rendah tindakan saya ini boleh buat mereka dapat perhatian dan rezeki, baguslah.
“Sesetengah orang akan hentam kita untuk buat diri mereka rasa lebih bagus. Tapi saya tak macam itu. Biarlah orang nak cakap atau buat apa pun. Kalau itu menggembirakan mereka, Alhamdulillah," ujarnya.
Que menegaskan, dia berasa gembira apabila ramai pengguna media sosial termasuk selebriti yang membuat parodi mengenai trend Jamilah.
“Saya simple saja. Saya nak jalani hidup dengan tenang dan jaga diri saya.
Saya sudah lebih 20 tahun dalam industri seni. Sekarang saya cuma nak nikmati hidup saja.
QUE HAIDAR
PELAKON
“Saya bangga ramai yang ikut trend ini sebab perkara kecil seperti ini adalah satu bentuk sokongan daripada rakan industri.
“Itu juga menjadi kekuatan untuk saya bangkit kembali dalam industri,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Que turut dilantik sebagai duta Jakel 2026 bersama dua selebriti lain iaitu Kamal Adli dan Elly Mazlein.
Menurut Que dia terkejut dengan sambutan pembeli yang hadir semata-mata untuk menyokongnya.

Que (dua dari kiri) dilantik menjadi duta Jakel bagi kempen raya tahun 2026.
Dia turut berterima kasih kepada pihak Jakel atas peluang mendekati peminat dalam suasana penuh meriah.
“Saya hargai setiap sokongan mereka. Jakel beri ruang untuk saya bertemu peminat dengan lebih dekat, dan hari ini benar-benar luar biasa,” tambahnya.
Selain peluang bertemu Que Haidar, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah bernilai hampir RM30,000 termasuk gajet terkini dan barangan eksklusif.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


