suria

“Mak pun berhak bahagia”... Shila Amzah terharu jadi ‘pengawas’ cinta ibu

Shila tumpang bahagia dengan ibunya.

PENYANYI Shila Amzah tidak dapat menyembunyikan rasa lucu dan terharu apabila tanpa sedar menjadi ‘pengawas’ dalam perjalanan cinta ibunya, Fauziah Sarman, yang kini kembali mengecap bahagia bersama jejaka pilihan hati.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata segala yang berlaku benar-benar di luar jangkaan, apatah lagi perkenalan ibunya dengan suami baharu itu juga berlaku dalam tempoh yang agak singkat sama seperti kisah cintanya bersama suami, Ubai.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira. Benda yang tak dijangka. Perkenalan mereka singkat seperti saya dan Ubai. Dari kawan, tak tunggu lama terus ajak kahwin. Mak saya pun lalui benda sama,” katanya kepada mStar.

Shila bersama suami serta ibunya dan bapa tiri.

Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Sidang Media Album Shila Amzah berjudul SA25.

Menurut Shila, meskipun ibunya sudah berusia, ia bukan alasan untuk menghalang wanita tersebut daripada mencari kebahagiaan baharu dalam hidup.

Jelasnya, kebahagiaan seseorang tidak seharusnya disekat oleh usia atau pandangan masyarakat yang sempit.

“Orang kata, kalau dah tua biarlah dengan anak-anak. Tapi untuk mereka yang kata macam itu, anak-anak pun ada hidup sendiri, takkanlah mak kita nak duduk sorang-sorang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kali pertama jadi ‘mak pengantin’, Shila Amzah kongsi pengalaman urus majlis nikah ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Tewas dengan ‘pickup line’ suami punca ibu Shila Amzah berkahwin lagi

"Jadi biarlah pada usia berapa pun, mereka tetap berhak untuk mengecapi bahagia,” luahnya.

Bercerita lanjut, Shila berkata sebaik sahaja melihat Brigedier Jeneral Zainal Abdin Mohammad Salleh yang kini menjadi suami ibunya, dia dapat merasai aura positif yang sukar digambarkan.

Katanya, sejak perkenalan itu kebahagiaan jelas terpancar pada wajah ibunya.

Saya harap mereka saling melengkapi.

SHILA AMZAH

PENYANYI

“Bila kali pertama jumpa Baba, dia ada aura. Orang kata kalau kita dah tempuh macam-macam sebelum ini, sekali pandang pun dah tahu.

“Baru beberapa hari tapi dia sangat gembira. Selepas apa yang berlaku sebelum ini, dia sukar untuk jatuh cinta. Bila diberi peluang kedua, saya harap mereka saling melengkapi," tambahnya.

Dalam pada itu, Shila mengakui dia dan suaminya, Ubai tanpa sedar mengambil peranan sebagai penjaga untuk memastikan ibunya tidak terlalu lama menjalinkan hubungan tanpa hala tuju.

Fauziah dapat restu daripada anak-anak.

“Saya dan Ubai macam jadi pengawas mak saya. Kami lebih kepada, ‘jangan lama-lamalah ya kalau macam ini’. Tiba-tiba saya pula rasa macam jadi mak dia kelakar bila fikir balik,” ujarnya.

Pada 22 November lalu, Fauziah Sarman, 37, selamat mendirikan rumah tangga bersama Zainal, 35.

Untuk rekod, Fauziah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk ND Lala pada tahun 1989 dan bercerai selepas 34 tahun berkahwin.

Selain Shila, mereka juga dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia