PENYANYI Shila Amzah berkongsi pengalaman manis apabila diberi kepercayaan membantu menguruskan majlis pernikahan ibunya, Fauziah Sarman yang berlangsung pada Sabtu.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, dia bersyukur apabila segala urusan majlis pernikahan tersebut berjalan lancar meskipun kali pertama memegang peranan sebagai 'mak pengantin'.
Kata Shila, dia turut berpeluang menguruskan pelbagai persiapan penting, termasuk urusan busana serta solekan buat ibu dan bapa tirinya.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar semalam (Sabtu). Kali pertama saya jadi mak pengantin, bila salam kaut orang bagi dekat saya (tapi sudah tentu masuk dalam beg mak kita). Lucu pula rasa.

Shila (kiri) menjadi orang kuat dalam majlis pernikahan ibunya.
"Dari baju pengantin, penata rias mak dan babah (panggilan bapa tiri) sehingga senarai borang kahwin mereka. Tak percaya ya dokumentasi itu yang akan leceh, tak boleh buat pada minit akhir. Alhamdulillah sempat semuanya.
"Paling lucu sebab mak dan babah tak pernah pergi kursus kahwin, ada yang cakap kena pergi, terus mereka pening," katanya.
Shila berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada Ahad.
Menurut penyanyi lagu Patah Seribu itu, dia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan buat mereka sekeluarga.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Shila Amzah kembali bergelar isteri, Serina Redzuawan jadi orang tengah… “Segala luka dan kesedihan kakak kini terubat”
ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan 34 tahun berakhir, isteri dedah ND Lala sudah lafaz cerai
Tambah Shila, setiap manusia berhak merasai kebahagiaan, tidak kira cepat atau lambat.
"Apapun terima kasih buat yang doakan baik-baik. Kebahagian itu milik semua, insya-Allah cepat atau lambat saja.
"Perjalanan kita takkan pernah sama, tapi kita semua mahu ke pengakhiran destinasi yang sama juga.
"Terima kasih suami Ubai kerana sudi mengiringi perjalanan ini," ujarnya.

Fauziah (kanan) selamat diijab kabul dengan pilihan hatinya.
Pada Sabtu, ibu Shila iaitu Fauziah selamat mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan jejaka pilihannya yang dikenali sebagai Zainal.
Majlis pernikahan pasangan itu dipercayai berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Fauziah sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk ND Lala pada 1989 dan bercerai selepas 34 tahun bernikah.
Selain Shila, mereka juga dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


