PENYANYI Syamel meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat menghadiri konsert GenKRU The Finale: One More Time susulan pertindihan jadual dengan showcase eksklusif Pertama – A New Journey Together with Me, Syamel di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada malam Sabtu.
Menurut Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, apa yang paling membuatkan hatinya lebih berat kerana tidak dapat menyaksikan persembahan Edry Abdul Halim iaitu anggota KRU yang sudah dianggap sebagai mentor dan tulang belakang perjalanan seninya sejak menyertai Akademi Fantasia 2015.
“Sejujurnya saya kecewa kerana tak pernah terlepas konsert KRU sebelum ini. Edry pula orang yang begitu penting dalam perjalanan kerjaya saya.

Syamel ketika membuat persembahan di showcase sulungnya.
“Hampir semua lagu saya yang popular diterbitkan olehnya. Kebanyakan karya saya terhasil daripada kerjasama kami,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama, Syamel mengakui sedih apabila Edry tidak dapat hadir pada showcase sulungnya itu.
Namun, katanya, hubungan mereka tetap rapat meskipun terhalang oleh komitmen profesional masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN: Sedekad bergelar anak seni, Syamel janji kongsi kenangan penuh emosi dalam ‘Pertama’
ARTIKEL BERKAITAN: “Lagu yang mahal” - Syamel sanggup terbang ke Manchester demi ‘Beribu Tanda Tanya’
“Bila Edry tak dapat hadir, memang rasa ralat. Tapi semuanya kebetulan, tarikh showcase saya sama dengan konsert KRU.
“Apa pun kami tetap berhubung, saling berkongsi video masing-masing. Cuma saya tetap rasa kekurangan bila dia tak ada di sini,” ujarnya.
Ditanya mengenai luahan hati peminat yang mempersoalkan penganjuran dua persembahan pada tarikh sama, Syamel melihat situasi itu daripada sudut positif.
“Ramai tinggalkan komen dan tanya kenapa bertembung dengan konsert KRU.
“Kadang-kadang saya lupa yang peminat Edry juga mendengar lagu-lagu saya sebab kami banyak bekerjasama. Jadi mereka pun rasa serba salah sebab sudah beli tiket KRU.

Syamel menghiburkan seramai 200 orang peminat dengan menyanyikan 10 buah lagu.
“Saya anggap semuanya sudah tertulis… mungkin kita kena lalui jalan berliku sebelum sampai ke destinasi. Saya sangat tersentuh sebab ramai sanggup hadir dan sokong showcase saya. Alhamdulillah, tiket habis terjual,” jelasnya..
Showcase Pertama – A New Journey Together with Me, Syamel mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis terjual.
Sepanjang showcase yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Syamel mempersembahkan rangkaian lagu hit termasuk Hidup Dalam Mati, Belakang Tabir, Lebih Sempurna, Beribu Tanda Tanya, Bahagia Milik Kita, Kau Pun Sama serta dua single baharu Hingga Hujung Waktu dan Dalam Kenangan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


