ACARA kemuncak sambutan ulang tahun mStar ke-20 dan Suria FM ke-18 yang berlangsung di taman tema Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor pada Ahad mendapat sambutan luar biasa.
Lebih istimewa, dua produk Star Media Group itu bergabung membawakan sebuah acara yang penuh ‘happening’ dan meninggalkan memori cukup manis.
Seramai 200 peminat bertuah yang memenangi kuiz kreatif di media sosial mStar serta segmen panggilan di Suria FM hadir seawal pukul 9 pagi bagi meraikan hari istimewa itu.

Nadia tidak takut untuk memegang ular.
Kelibat lebih 20 selebriti tanah air yang memeriahkan acara turut menarik perhatian ramai apabila peminat tidak melepaskan peluang bergambar bersama artis pujaan masing-masing.
Antara selebriti yang mencuri tumpuan termasuklah Bella Astillah, Wany Hasrita, Ara Johari, Sharul Kamal, Zoey Rahman, Nadia Brian, Muaz Zabir, Nabila Razali dan Aiman Tino.
Selain itu, acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Rezza Shah, Badron Munirah, Marc Syahmie, Taufiq Hanafi, Abbey Abimbola, Najmi Niery dan Qireen Din yang cukup ‘sporting’ melayan peminat.
Malah kehadiran penyampai Suria FM seperti Ajak, Chiwan, Kai Hassan, Elly Ariffin, Cik Piah dan Irsyad menghangatkan lagi suasana acara itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Artis popular bakal berhimpun layan peminat bertuah sempena 'Ulang Tahun mStar-Suria 2018' di Sunway Lagoon Ahad ini
ARTIKEL BERKAITAN: mStar dan Suria bergabung raikan ulang tahun di Sunway Lagoon… 200 peminat dijemput percuma!
Dalam pada itu, aktiviti ‘explorace’ menjadi antara momen paling mencuit hati.
Meskipun cuaca panas, Nadia tetap bersemangat melalui pelbagai cabaran bersama kumpulannya, selain sempat mengambil peluang bergambar dan memegang seekor ular.
Bella pula walaupun bertubuh kecil, dia antara selebriti paling lincah berlari bagi memastikan setiap tugasan diselesaikan tepat pada masanya.
Manakala Sharul, Aiman dan Wany pula tidak kisah basah kuyup bagi menyelesaikan cabaran dalam air.

Cik Piah bersama kumpulannya memenangi cabaran explorace.
Gelagat Muaz yang menjerit ketakutan sepanjang menaiki Pirate Ship sehingga mengaku ‘jantung nak terkeluar’ turut menghiburkan ramai.
Kemenangan bagi pertandingan ‘explorace’ itu pada akhirnya berpihak kepada kumpulan diketuai penyampai Suria FM, Cik Piah atau Feeya Iskandar.
Kemeriahan acara kemudian diteruskan dengan persembahan istimewa daripada Bella, Wany, Ara, Nabila Razali dan Najmi Niery yang memanaskan acara itu.

Persembahan daripada Nabila memeriahkan suasana.
Anugerah sampingan turut menjadi perhatian apabila beberapa selebriti membawa pulang hadiah menarik.
Selebriti Paling Havoc dimenangi Badron yang menerima Zus gift pack, manakala Selebriti Paling Function menjadi milik Nadia yang membawa pulang hadiah sama.
Kategori Selebriti Paling Aktif menyaksikan Abbey membawa pulang Labubu pin Pop Mart, sementara Qireen dinobatkan Selebriti Gaya Santai dengan hadiah cermin mata hitam H&M.

Badron diumumkan sebagai Selebriti Paling Havoc.
Marc pula diumumkan sebagai Selebriti On Time dan menerima cap Flipper, manakala Selebriti Paling Sporting menjadi milik Ajak Shiro.
Acara kemuncak ini menutup siri sambutan ulang tahun yang telah bermula sejak Oktober lalu, termasuk penganjuran pertandingan boling dan pickleball.
Portal mStar kekal komited menghadirkan kandungan relevan, interaktif dan dekat dengan komuniti, seiring evolusi dunia digital serta sokongan pembaca yang tidak pernah putus.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


